JOANNA & Co tampil buah tangan terbaharu gabung elemen pop, pop moden, city pop dan rock.
JOANNA & Co tampil buah tangan terbaharu gabung elemen pop, pop moden, city pop dan rock.
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN Joanna & Co pernah mengumumkan pembubaran mereka pada 2021. Penyanyinya, Joanna bersama pemain bass, Kusha kemudian bergerak atas nama Joanna Renisa.

Bagaimanapun, Joanna & Co yang lahir dari era '2000s indie explosion' kini tampil semula dengan karya terbaharu berjudul Nostradansa.

Selain Joanna dan Kusha, mereka kekal bersama Jay (gitar) dan Meor (dram).

Joanna berkata, album yang dihasilkan sepenuhnya mereka sendiri itu diterbitkan bertujuan menghidupkan semula semangat dan keterujaan peminat terhadap kumpulan ini.

"Nostradansa sudah pun dilancarkan sejak awal Ogos lalu di semua platform digital utama. Nostradansa menyasarkan untuk memecah batas muzik kontemporari.

"Album ini mengandungi lapan lagu yang dihasilkan dengan teliti oleh kami. Dengan gabungan elemen pop, pop moden, city pop, dan rock, album ini menjamin sesuatu yang memuaskan setiap halwa telinga pendengar.

"Single pertama dari album ini yang bertajuk Nostradansa memberi gambaran mengenai seni kumpulan ini dan evolusi kami sebagai pemuzik," katanya.

Sebagai nilai tambah, kumpulan ini turut menghasilkan muzik video menarik menerusi penceritaan visual yang lebih bermakna untuk pendengar.

"Bersama-sama itu juga, kami membawa tenaga terkumpul ke pentas dan studio, menjadikan setiap persembahan satu pengalaman yang tidak akan terlupakan oleh peminat," katanya.

Sebagai penghormatan kepada peminat yang tidak jemu memberi sokongan sejak 2006, Joanna & Co menghasilkan CD edisi terhad sebanyak 300 keping untuk peminat tegar dan pengumpul.

"Istimewanya salinan fizikal ini mengandungi sembilan lagu. Jadi, kami menyeru peminat jangan lepaskan peluang memiliki salinan fizikal permata muzikal ini dan menghayati sepenuhnya.

"Ia kerana kami mengalirkan hati dan jiwa kami dalam mencipta Nostradansa. Ini adalah album yang mencerminkan perkembangan kami sebagai artis dan mempamerkan kepelbagaian pengaruh muzikal kami.

"Kami tidak sabar mahu semua orang mendengarnya dan menanti respons daripada semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 6:30 AM