JANNA dan Sean bergandingan dalam Delen.
JANNA dan Sean bergandingan dalam Delen.
Sudirman Mohd Tahir


GENAP 10 tahun pembabitan dalam bidang seni, pelakon popular Janna Nick, 26, membuka lembaran 2021 dengan melebarkan sayap dalam bidang pengarahan dan penerbitan.

Langkah berani Janna dimulakan dengan penerbitan telefilem berjudul Delen yang bakal ditayangkan Sabtu ini, jam 9 malam di saluran Astro Citra.

Apa yang menarik, telefilem terbitan syarikat milik Janna iaitu Janna Nick Studios itu menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Sean Lee, Sherry Al Hadad, Mark Adam, Joey, Dini Schatzmann, Norreen Iman dan ramai lagi.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, memilih genre komedi romantik untuk 'baby' sulungnya itu yang memaparkan kisah percintaan remaja sekolah.

"Saya pilih genre dan jalan cerita ini kerana berasakan lebih mudah untuk mengarah. Tapi sebenarnya tidak, apatah lagi ketika proses suntingan. Kalau dengar komedi romantik memang ringan, tapi nak hasilkan karya sebegini agak sukar juga.

ANTARA barisan pelakon terbabit.
ANTARA barisan pelakon terbabit.

"Namun, apabila sudah terbabit dalam bidang pengarahan dan penerbitan, ia memang memberi pengalaman baharu. Saya mula melihat skop pekerjaan dunia hiburan dengan lebih serius dan perspektif lebih besar.

"Sebelum ini tanggungjawab saya sebagai pelakon saja, tapi apabila menjadi pengara

h dan penerbit, saya kena rasa dan lalui semua perkara. Dalam masa sama, saya melihat ia memberi kesan dari segi kerjaya lakonan yang mana saya perlu lebih peka terhadap kerja pengarah dan penerbit.

"Apabila duduk di kerusi pengarah juga, baru saya rasa macam mana kalau pelakon tidak memberi. Baru faham setiap pengarah ini ada 'look' dan 'feel' yang mereka mahukan. Dalam erti kata lain, pemahaman pelakon dan pengarah tak sama. Menjadi pelakon kena hormat kerja pengarahan," katanya.

Berkongsi mengenai tugas baharunya itu, Janna yang kini muncul menerusi drama Marry Me Senorita di saluran Astro Ria berkata, penghasilan teleflem Delen itu bukan sekadar satu percubaan sebaliknya dia serius untuk terus menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

"Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun dalam industri hiburan. Dari segi nak mengarah, diakui saya memang tidak ada kelulusan itu, tapi saya ada pengalaman. Dari awal lagi, saya memang niat dan bercita-cita mahu menjadi pengarah.

"Malah, saya masuk industri pun mahu serius dalam bidang ini. Bukan nak kejar populariti dan glamor saja. Jadi, tidak salah untuk saya mencuba dan meneroka bidang baharu pula. Apabila saya menerbit dan mengarah telefilem ini, ia bukan satu percubaan dan saya takkan berhenti.

SHERRY Al Hadad pamer lakonan bersahaja.
SHERRY Al Hadad pamer lakonan bersahaja.

"Insya-Allah, selepas ini ada satu lagi telefilem yang akan ditayangkan. Cerita berjudul Jeti ini sudah siap menjalani penggambaran pun. Kali ini saya membawakan genre berat dan penuh emosi lakonan hebat Nabila Huda dan Fauziah Nawi. Tapi, untuk cerita ini saya memberi fokus kepada pengarahan dan penerbitan saja. Ternyata, untuk genre ini ia lebih mudah berbanding komedi romantik," katanya.

Mengakui berdebar dengan tayangan telefilem Delen, Janna mengalu-alukan dan terbuka untuk menerima sebarang kritikan membina daripada penonton.

"Mengarahkan pelakon, jurukamera dan kru berpengalaman sangat mencabar. Sudah tentu mereka akan berfikir apa kredibiliti yang saya ada. Jadi, ini memang mencabar dan menjadi satu cabaran besar buat saya. Duduk di kerusi pengarah, bukan setakat 'cut & action', tapi tanggungjawabnya sangat besar.

"Memandangkan Delen adalah buah tangan pertama syarikat saya, jadi saya perlukan kritikan semua orang untuk saya mem

perbaiki dan meningkatkan lagi kualiti kerja, sekali gus saya dapat idea daripada kritikan semua. Termasuklah, saya juga boleh tahu drama macam mana yang mereka nak tonton.

"Saya kena belajar terima kritikan dengan hati terbuka. Saya tidak boleh letakkan diri bagus. Saya akan terus belajar. Lebih baik tegur dan kritik sekarang daripada tidak ada langsung," katanya.

Dalam perkembangan lain, Janna berkongsi dia terpaksa menangguhkan pengajian dalam bidang pengarahan di Institut Kesenian Jakarta di Indonesia (IJK) ekoran penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 6:14 AM