JALIL (kanan) sebagai Lebai Tahir.
JALIL (kanan) sebagai Lebai Tahir.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Pada permulaan kariernya, Shuhaimi Lua mengarah drama genre berat seperti Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Bencita, Rebah Taubat, Perempuan Tanpa Rahim, Beruk Tok Ayah, Ramadhan Jangan Tinggal Kami dan Nasuha yang ditayangkan menerusi TV3 dan TV9.

Selepas itu, dia menyahut cabaran untuk bergelar pe–ngarah serba boleh apabila mengarahkan drama komedi pula antaranya Besan Tiga Segi, Kampung Ku dan Aidiladha dan Abang Sado Kau Ado.

Terbaru, Shuhaimi tampil dengan telefilem komedi Ja–ngan Ambil Botol Itu yang kini menjalani penggambaran di sekitar Kuang dan Sungai Buloh, Selangor.

Telefilem lakonan Jalil Hamid, Rashidah Jaafar, Hairul Azreen dan Nadzmi Adhwa itu bakal ditayangkan di slot Skrin 9 TV9, Januari tahun depan.

Shuhaimi berkata, genre komedi sebenarnya tidak begitu jauh dengan dirinya kerana ketika aktif dalam teater dulu, dia banyak melakonkan watak komedi.

“Saya merasakan tanggungjawab ini perlu dipikul sebaik mungkin. Apabila mengarah cerita komedi, saya dapat rasa boleh mengurangkan tekanan dihadapi.

“Apatah lagi saya bekerja dengan pelakon yang begitu komited di lokasi seperti Jalil Hamid, Rashidah Jaafar, Hairul Azreen dan Nadzmi Adhwa. Kami bekerja dalam suasana gembira dan tidak ‘tension’.

“Saya pula ambil prinsip tak suka marah-marah artis atau kru sepanjang bekerja. Ini kerana saya tak nak ada jurang yang membuatkan kami tak selesa dan menyukarkan semua pihak untuk bekerja,” katanya.

Bukan pelakon komedi

Ketika perbincangan dengan pihak stesen TV, Shuhaimi terkejut apabila mereka memintanya mencari pelakon bukan komedi untuk membintangi telefilem ini.

“Mulanya saya risau juga memikirkan teknik yang perlu digunakan dalam pengarahan. Apabila Hairul dan Nadzmi terpilih menjadi teraju utama, saya makin tidak tidur malam.

“Hairul berkata kepada saya dia sudah hampir setahun tidak berlakon dalam mana-mana drama terutama selepas berkahwin manakala lakonan Nadzmi saya hanya sempat lihat menerusi drama Hati Perempuan.

“Kedua-duanya tak biasa dengan genre komedi. Ini cabaran buat saya sebagai pengarah untuk membentuk lakonan mereka bagi menghidupkan telefilem ini,” katanya.

Shuhaimi berkata, dia kemudian berjumpa Hairul dan Nadzmi mengenai impiannya untuk telefilem ini dan watak yang perlu dilakonkan.

Dari situ berlaku percambahan idea.

Menurutnya, setakat ini dia gembira apabila pelakonnya mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Posisi watak yang dibawa mereka ternyata ada komedinya. Ada ‘sweet’ dan mampu membuat penonton ketawa. Saya tak berani cakap lebih-lebih dan menyerahkan kepada penonton membuat penilaian sendiri apabila ia ditayangkan nanti,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan penulis skrip, Noraini Baharu berkata, ini kali pertama syarikatnya diberi peluang menghasilkan drama genre komedi.

“Sebelum ini kami menghasilkan drama genre berat iaitu Pulanglah Abah yang disiarkan di TV3 sempena Hari Bapa pada tahun lalu. Diikuti dengan telefilem Acu juga di TV3 pada tahun sama serta drama Rumah Kecil Untuk Tuhan pada Aidilfitri lalu.

“Idea asal cerita ini datangnya daripada kawan saya di Indonesia. Kemudian saya kembangkan dengan mengubahnya kepada struktur budaya tempatan,” katanya yang juga bekas guru dan sering mengikuti kursus penulisan, pengarahan dan penerbitan anjuran pelbagai pihak.

Sinopsis

Jangan Ambil Botol Itu mengisahkan Jamal, anak kepada Lebai Tahir yang nakal.

Sikapnya bertentangan dengan bapanya yang juga seorang imam dan penceramah agama disegani di kampung mereka.

Walaupun Jamal pernah dihantar belajar di sekolah agama, tetapi kelakuannya tidak berubah. Semua ilmu yang diajar di situ jarang diamalkannya.

Sebaliknya dia lebih gemar berpelesaran dan lepak bersama-sama rakan sekampung yang tercicir dari alam persekolahan.

Hidupnya ditanggung Lebai Tahir yang mempunyai harta agak banyak membuatkan Jamal tidak perlu bersusah payah untuk bekerja dan mencari wang.

Selepas tamat pelajaran di sekolah agama, Jamal pulang ke kampung. Bapa dan ibunya ingin mengadakan majlis kesyukuran atas kepulangannya yang diharap akan mengubah cara hidup Jamal.

Pada masa sama, Jamal juga disambut dengan gembira oleh rakan-rakan yang biasa melepak bersamanya. Tanpa pengetahuan Jamal, seorang rakannya, Jizan memberikankannya pil dadah yang boleh menjadikannya khayal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 12:43 PM