ZIZAN terima secara terbuka kritikan terhadap buah tangan terbarunya, Awak Terlalu Ganu Untuk Saya.
ZIZAN terima secara terbuka kritikan terhadap buah tangan terbarunya, Awak Terlalu Ganu Untuk Saya.
Syafil Syazwan Jefri


SEBUT saja nama Zizan Razak, tentunya akan bermain di fikiran watak lucunya dalam filem atau pelbagai program TV.

Aidilfitri tahun ini menjadi tahun bertuah dan istimewa buatnya apabila telefilem pertama arahannya secara solo ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri lalu.

"Ramadan lalu, saya banyak penggambaran untuk program Aidilfitri. Sebelum Ramadan, saya ada arahkan satu telefilem berjudul Awak Terlalu Ganu Untuk Saya.

"Tahun lalu, saya dah pernah mengarah dua karya, tapi kali ini kali pertama saya mengarah secara solo," katanya.

Ditanya pengalamannya mengarahkan telefilem secara solo, Zizan berkata, dia perlu melihat keseluruhan aspek dan sentiasa fokus.

"Kena ambil tahu semua sebab tak semua orang masuk ke set terus boleh buat. Alhamdulillah, pasukan saya sangat memberi dorongan yang baik untuk saya. Saya juga banyak bertanya, pilih 'shot' saya juga dan mereka terima. Saya belajar sebagai proses untuk menjadi penulis yang lebih baik.

"Kena fokus dan pada masa sama, kena jaga secara keseluruhan. Kita kena sedar beza antara telefilem, filem dan drama. Nak berkarya seperti filem pun tak boleh sebab ini untuk tayangan di TV.

"Boleh saya katakan, ada banyak benda yang perlu diperbaiki. Kalau ada peluang, saya nak cuba lagi," katanya.

Menurut Zizan, menggalas tiga tanggungjawab benar-benar mencabar kemampuannya ketika berada di set dan perlu ada pemahaman antara pelakon dan pengarah.

KARYA berkisar mengenai perempuan tak suka lelaki dari Terengganu ditayangkan pada hari raya pertama lalu.
KARYA berkisar mengenai perempuan tak suka lelaki dari Terengganu ditayangkan pada hari raya pertama lalu.

"Penat sebab saya mengarah, tulis skrip dan berlakon. Jadi, bila tengok semula, saya rasa kalau orang lain mengarah, saya boleh teroka lagi dalam lakonan. Tapi, bila saya mengarah, saya tengok saya banyak berfikir walaupun sedang berlakon.

"Saya nak tengok dulu bagaimana penerimaan. Kalau diberi kritikan membina atau kritikan pedas, saya akan cuba perbaiki lagi.

"Pada saya, pemahaman sebab saya datang sebagai pelakon dan penulis. Ditambah pula bila jadi pengarah, kita ada pemahaman yang lebih mengenai karya itu. Saya rasa perlu ada pemahaman antara artis dan pengarah untuk menjayakan watak itu," katanya.

Berkongsi mengenai jalan cerita dalam telefilem itu, Zizan berkata, sebahagian daripadanya adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Kisahnya mengenai perempuan yang tak suka lelaki dari Terengganu. Saya pernah bercinta dan ada wanita yang beritahu tak suka orang pantai timur. Sebab persepsi begitu, saya tulis cerita ini.

"Kalau orang kata sensitif, cuba tonton dulu. Pada saya, saya cuba beritahu kenapa letak persepsi begini. Kalau orang yang tidak baik, itu semuanya individu dan bukan mewakili negeri.

"Saya rasa mewakili keseluruhan juga. Kadang ada orang yang tak suka orang negeri lain juga. Tapi, sebab saya dari Terengganu, saya gunakan dalam kisah ini," katanya.

Selain Zizan yang turut berlakon, Awak Terlalu Ganu Untuk Saya menampilkan Riena Diana, Adrina Kamaruddin, Wanns Ahmad, Jihaa Sham, Hilmy Ashley dan Addnan Saripudin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:30 AM