ZAIM kini sedia kembang bakatnya dalam pelbagai cabang seni.
ZAIM kini sedia kembang bakatnya dalam pelbagai cabang seni.
Norhayati Nordin


SELEPAS 10 tahun terikat kerja makan gaji, pengacara berpengalaman Zaim Helmi Zaini, 35, akhirnya membuat keputusan meletak jawatan sebagai Pengurus Bakat di Wow Shop pada Oktober, tahun lalu.

Mengakui jawatan itu dilepaskan dengan rela hati, Zaim berkata berbekal pengalaman dimiliki selama ini dia berasa sudah tiba masa untuknya bergerak sendiri dalam karier.

Menurut Zaim, dia merancang mencari peluang untuk menimba pengalaman kerja dengan stesen lain secara sambilan untuk mengacarakan program baharu.

"Selama ini apabila bekerja tetap saya terikat dengan majikan dan peluang agak terhad. Jadi, apabila sudah bebas dan mengatur kerja sendiri saya harap berupaya mendapat pelbagai peluang daripada pihak lain pula.

"Saya mahu menimba pengalaman kerja yang baharu. Termasuk, jika ada peluang berlakon pun saya sanggup nak mencuba bagi meningkatkan lagi kemahiran diri.

"Kini, apa yang saya cuba lakukan bukan untuk mencari nama atau populariti. Ia hanya untuk kepuasan diri sendiri dalam usaha terus menimba ilmu dan pengalaman kerja yang baharu," katanya.

Berbicara mengenai lakonanan, Zaim berkata dahulu dia pernah mendapat tawaran berlakon drama tetapi tidak bersedia menerimanya. Bagaimanapun, sekarang kalau ada tawaran dia ingin cuba dan mempertimbangkannya.

"Saya nak cuba dapatkan pengalaman menghafal skrip kerana ia juga sebenarnya bagus untuk bantu saya belajar bangkitkan emosi ketika mengacarakan program TV

KELUARGA bahagia, Zaim bersama isteri dan anak-anak.
KELUARGA bahagia, Zaim bersama isteri dan anak-anak.

"Selain itu, saya juga ada dapat peluang untuk menceburi nyanyian. Macam kelakar, tapi bolehlah nak cuba. Bagi saya, sekarang masanya untuk buat apa yang disukai," katanya.

Menurut Zaim lagi, dia sudah mendapatkan beberapa lagu daripada komposer di Indonesia dan masih memilih yang sesuai. Katanya, sebagai lelaki yang sudah berkeluarga dia lebih selesa menyanyikan lagu berkaitan kebahagiaan dan kasih sayang terhadap pasangan.

"Saya nak menyanyi pun sekadar suka-suka dan bukan mahu tembusi pasaran arus perdana. Saya mahu rakam lagu yang mendedikasikan kasih sayang dan perasaan cinta kepada isteri.

"Lagunya pasti bergenre balada yang segar serta menggambarkan kebahagiaan. Bagi saya, tiada istilah tak bahagia dalam kehidupan dan sejujurnya saya sangat sukakan lagu cinta yang bersulam bahagia," katanya

Zaim yang mendirikan rumah tangga dengan Nurdamia Mohamed Nasir pada Disember 2015, kini dikuniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Zaaef Al Ikhlas, 5, Zaaef Al Ilham, berusia setahun.

Berbicara bakat nyanyiannya, Zaim berkata dia bukanlah pandai sangat menyanyi, tapi tidak salah untuk mencuba. Dahulu pun, ketika masih belia Zaim pernah menyertai ujibakat Malaysian Idol musim kedua dan tersenarai Top 50.

Mengulas pula pengacaraan, Zaim kini masih bekerja mengendalikan CJ Wow Shop serta program Hello Doktor di TV3 secara sambilan. Katanya, dia juga mengusahakan perniagaan kosmetik bersama isterinya lebih lima tahun lalu.

"Sekarang, keutamaan saya pada perniagaan dengan membantu isteri. Ditambah, perniagaan kosmetik kami juga dibuat secara online. Alhamdulillah, syukur hingga kini sambutan agak baik.

"Malah, memandangkan sekarang banyak urusan secara online, saya juga ada mengacara jualan produk di 'Facebook live' dan apa sahaja platform online. Saya tidak meletakkan harga tinggi untuk perkhidmatan serta ada juga membuka kelas online untuk pengacaraan bagi sesiapa berminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:37 AM