WANY akui makin meminati bidang pengacaraan.
WANY akui makin meminati bidang pengacaraan.
Norhayati Nordin


WALAUPUN populariti sudah ada dalam genggamannya, ia bukan tiket bagi penyanyi jelita, Wany Hasrita, 29, untuk leka.

Malah, dia perlu terus berusaha untuk memantapkan karier.

Suka mencuba dan enggan melepaskan peluang mendorong Wany mula aktif dalam bidang pengacaraan.

Gadis berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan cukup popular dengan lagu Menahan Rindu ini mendapat kepercayaan menjadi pengacara bersama untuk program Borak Dulu Baru Buka dan Ihya Ramadan di RTM, Ramadan lalu.

Baginya, itu adalah rezeki Ramadan yang tidak dijangka.

Wany berkata, dia pernah cuba mengacara pada 2018 dalam program Sembang Sahur, namun untuk tahun berikutnya dia lebih fokus pada kerjaya nyanyiannya.

"Saya minat dengan bidang pengacaraan, tapi keutamaan ketika itu adalah nyanyian. Jadi, saya terus tumpukan menyanyi berikutan terikat dengan projek secara solo dan duet.

"Bagaimanapun, tahun ini saya dapat semula peluang untuk mengacara lagi. Saya ambil kerana serius nak mencuba dan kini sudah semakin berminat. Bidang pengacaraan ini kena dengan jiwa saya.

"Sebagai permulaan untuk menimba ilmu dan pengalaman, saya ambil program yang ringan dulu. Ini kerana nak tengok juga saya boleh buat atau tidak. Saya tiada asas dalam bidang komunikasi massa," katanya.

Menurut Wany, dia gembira dapat melaksanakan tanggungjawab diambil dengan baik.

SINGLE baru, Wany berkolaborasi dengan Sophia Liana dalam lagu Pedas.
SINGLE baru, Wany berkolaborasi dengan Sophia Liana dalam lagu Pedas.

Katanya, dia sangat teruja mengacarakan dua program itu ketika Ramadan lalu. Malah, paling meninggalkan kesan kerana dia bermula dari bawah.

"Dalam setiap kerja yang saya buat sama ada menyanyi dan berlakon, saya sebenarnya tak pernah fikir nak cepat popular. Kerja itu saya buat kerana tanggungjawab dan tak boleh sambil lewa.

"Menerusi peluang yang diberikan RTM, saya anggap akan lebih mengembangkan lagi bakat pengacaraan ini. Mana tahu, ia menjadikan saya lebih bersedia untuk mengendalikan program besar dan formal selepas ini," katanya.

Wany yang baru menang tempat ketiga di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) pada Mac lalu bersama Datuk Jamal Abdillah dengan lagu Belenggu Rindu menyambut Aidilfitri tahun ini dengan sederhana.

Katanya, sudah dua tahun tidak pulang beraya di kampung bertemu sanak saudara berikutan penularan Covid-19 sejak awal tahun lalu. Namun, dia akur dan tetap bersyukur kerana masih berpeluang beraya dengan ibunya, Norita Jaafar.

"Saya dah biasa setiap tahun beraya berdua dengan ibu dan kalau balik kampung pun sekejap saja kerana pada hari raya kedua atau ketiga saya sudah mula bekerja.

"Apa-apa pun, dapat beraya dengan ibu dan kemudian bersama keluarga sebelah bapa saya pun sudah memadai," katanya.

Menyedari pandemik Covid-19 belum menunjukkan tanda untuk reda di negara ini, Wany sangat berhati-hati.

Katanya, kita perlu terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebagai langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap membasuh tangan.

Pertaruh single Pedas

Tidak lengkap berbual dengan Wany tanpa mengetahui perkembangan kerjaya nyanyiannya.

Menurut penyanyi lagu Ewah Ewah ini, dia bakal muncul dengan single baharu.

Katanya, jika tiada aral dan mengikut perancangan diatur, dia akan muncul dengan single berjudul Pedas kerjasama dengan penyanyi, Sophia Liana.

"Lagu Pedas ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menampilkan sesuatu yang segar dan sisi berbeza dalam nyanyian dipersembahkan. Malah, untuk lagu ini saya tampil dengan genre pop.

PELUANG usah ditolak, Wany ligat mengacara program TV di RTM pada Ramadan lalu.
PELUANG usah ditolak, Wany ligat mengacara program TV di RTM pada Ramadan lalu.

"Kalau mengikut beberapa single terdahulu, saya menyanyikan genre balada. Tapi, kali ini dengan Sophia saya teruja dapat merakamkan lagu ini. Melodinya mantap dan lirik juga 'catchy'.

"Ditambah lagi, single ini juga dihasilkan oleh penyanyi dan komposer, Altimet bersama Shazzy. Jujur diakui, saya tak sabar nak muncul dengan single ini," katanya.

Bagaimanapun, Wany juga bimbang apabila terfikir penerimaan dan maklum balas netizen terhadap video muzik lagu Pedas itu yang memerlukannya menari walaupun dia bertudung.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan peminat dan pendengar muzik tempatan boleh menerima lagu Pedas ini dengan baik dan positif. Insya-Allah, lagu ini bakal dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 7:00 AM