FARAH Khan berkongsi di sebalik tabir pembikinan filem Bollywood.
FARAH Khan berkongsi di sebalik tabir pembikinan filem Bollywood.
Sudirman Mohd Tahir

AIRBNB melancarkan Bollywood Insiders yang memberikan pengalaman dalam talian selama 10 hari yang akan memperkenalkan industri perfileman India terkenal ke dunia nyata.

Dianjurkan oleh bakat terbaik industri Bollywood, tetamu dari seluruh dunia berpeluang mendalami budaya India dengan menjenguk di sebalik tabir set filem Bollywood dan berinteraksi dengan personaliti yang menjadi igauan ramai.

Bollywood Insiders yang bermula semalam hingga 22 Ogos ini menampilkan tujuh Pengalaman Online yang unik.

Antara pengalaman itu adalah menyelami kehidupan pelakon bersama Arjuna Mathur, meneroka rahsia pembikinan filem bersama Farah Khan yang juga berkongsi tip membuat persediaan untuk uji bakat, pengalaman memasak beberapa makanan yang paling digemari bintang Bollywood bersama cef Vicky Ratnani, menyanyi bersama penyanyi latar Bollywood, Shilpa Rao, mendapatkan tip gaya daripada jurugaya selebriti, Tanya Ghavri, memulakan perjalanan kecergasan yang bermanfaat dengan jurulatih kepada bintang terkenal, Shivonam dan sesi solekan bersama ikon kecantikan Namrata Soni.

Pengurus Besar Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, pihaknya teruja melancarkan Bollywood Insiders.

ARJUNA Mathur pelakon terkenal Bollywood.
ARJUNA Mathur pelakon terkenal Bollywood.

"Ini adalah kempen yang menggabungkan 'Love India' kepada filem dengan koleksi pengalaman Airbnb yang unik dan tulen. Program ini bertujuan menyediakan komuniti kami dengan peluang luar biasa untuk berinteraksi dengan personaliti popular dari Bollywood dan belajar secara langsung daripada beberapa pakar yang dijemput. Kami tidak sabar untuk terus mencipta pengalaman lain yang akan memupuk hubungan lanjut dalam kalangan tetamu," katanya.

Sementara itu, pelakon Arjun Mathur berkata, kerjasama dengan Airbnb memberi peluang buat dirinya berkongsi segala yang sudah dipelajari sepanjang terbabit dalam industri perfileman Bollywood.

"Sebagai pelakon, saya sentiasa percaya kepada menyumbang terhadap kebaikan dan saya menghargai setiap peluang untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain, sama ada mereka bercita-cita untuk menjadi pelakon atau sekadar peminat filem.

"Kerjasama saya dengan Airbnb memberi saya peluang untuk berkongsi segala yang saya pelajari daripada industri ini bersama penonton yang lebih meluas yang turut mengagumi dunia perfileman seperti saya.

PERKONGSIAN pengalaman tip gaya daripada jurugaya selebriti, Tanya Ghavri.
PERKONGSIAN pengalaman tip gaya daripada jurugaya selebriti, Tanya Ghavri.

"Saya sudah menjadi Hos Airbnb selama beberapa tahun. Bagaimanapun, ini adalah kali pertama saya akan menganjurkan Pengalaman Online. Saya tidak sabar untuk berhubung dengan peminat filem dari seluruh dunia dan membimbing mereka menyelami selok-belok industri ini," katanya.

Bercakap mengenai pengalaman, pengarah Farah Khan? berkata, program Bollywood Insiders memberi peluang untuknya berkongsi banyak perkara terutama di sebalik pembikinan filem.

"Motto kehidupan saya adalah untuk berseronok dalam semua perkara yang dilakukan dan itulah semangat yang saya bawa kepada Pengalaman Online saya di Airbnb.

"Pengalaman di sebalik lensa saya akan merangkumi perbualan yang ceria selama satu jam dengan sesi uji bakat yang menyeronokkan di mana tetamu dapat menyampaikan dialog filem kegemaran mereka di hadapan saya.

"Saya juga akan berkongsi banyak anekdot di sebalik tabir daripada pengalaman saya mengarahkan filem-filem Bollywood dan membina kemahiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:30 AM