MARK Adam kini fokus keja secara dalam talian (online).
MARK Adam kini fokus keja secara dalam talian (online).
Syafil Syazwan Jefri

Melihatkan jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 semakin meningkat membuatkan penyanyi dan pelakon, Mark Adam rasa paranoid untuk keluar dari rumah.

Namun begitu, pada masa sama beliau turut berfikir mengenai orang-orang yang perlu keluar untuk bekerja demi mencari sesuap nasi.

Justeru, Mark berkongsi mengenai beberapa urusan kerjanya yang tertangguh serta terjejas akibat pandemik Covid-19 ini.

"Apa yang saya lihat, jumlah kes semakin meningkat. Memang kita takut untuk keluar, tapi bagaimana dengan orang-orang yang perlu bekerja untuk mencari rezeki kerana tak semua orang boleh bekerja dari rumah," katanya.

Menurutnya, sumber pendapatannya juga pasti terjejas.

"Dari segi pendapatan, memang terjejas kerana sekolah muzik saya pun tak dapat beroperasi seperti biasa melainkan secara online.

"Tapi, tak semua kelas dapat dilakukan secara online. Begitu juga dengan pelajar kerana ada yang berdepan isu sambungan Internet yang menyebabkan mereka tak dapat menyertai kelas.

"Dari segi karier seni, ada beberapa program TV yang ditangguhkan buat sementara waktu. Selain program TV, pertandingan Muzikal Lawak Superstar juga tak dapat diteruskan buat seketika," katanya.

Tambahnya lagi, dia berharap supaya vaksin untuk Covid-19 akan segera diedarkan untuk mengelakkan penularan yang lebih teruk.

"Insya-Allah, kalau selepas vaksin diedar, kita dapat kurangkan angka jangkitan baharu sekaligus mengawal penularan Covid-19," katanya.

Berkongsi mengenai aktivitinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mark berkata dia banyak bekerja secara online.

"Ada beberapa sesi temu bual yang dijalankan secara dalam talian di samping kelas. Selain itu, saya juga menyiapkan beberapa material lagu.

"Antara yang terbaharu adalah lagu berjudul Yatim yang akan menggandingkan saya dengan penyanyi kanak-kanak. Ia juga akan menjadi lagu OST untuk satu filem," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:15 AM