KARDONE. FOTO IG Kardone
KARDONE. FOTO IG Kardone
Agensi

Texas: Penyanyi rap Martell DeRouen, 34, yang juga sepupu Beyoncé meninggal dunia akibat ditembak di apartmennya di San Antonio, di sini.

DeRouen yang lebih dikenali dengan nama pentas, Kardone ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh polis yang melakukan rondaan di kawasan kediamannya.

Rondaan itu dijalankan selepas polis mendapat panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa sudah beberapa hari tidak dapat menghubunginya.

Susulan penemuan itu, polis kini memburu wanita dikenali Sasha Skare, 21, yang dipercayai terbabit dalam jenayah itu.

Dia memiliki rekod jenayah lampau menembak teman lelakinya pada 2019.

Kardone adalah artis naungan syarikat rakaman The Orchard yang dimiliki Sony Music. Dia dilaporkan bekerja-keras membina nama tanpa dibayangi nama Beyoncé dalam industri muzik.

"Kardone sangat terkenal dalam lapangannya sebagai sepupu Beyoncé. Tapi beberapa tahun kebelakangan, dia mengejar sendiri cita-cita dalam bidang muzik.

"Kami perlu letakkan mengenai itu dalam biografinya kerana berbaloi untuk disebut. Namun, dia tidak sukakannya. Dia lebih suka perkara itu didiamkan," kata satu sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 12:39 PM