NORMAN akui banyak belajar dari pengalaman. FOTO Amirudin Sahib
NORMAN akui banyak belajar dari pengalaman. FOTO Amirudin Sahib
Norhayati Nordin


SETIAP orang pasti ada pengalaman hidup masing-masing. Tidak kira ia 'coretan' manis atau sebaliknya, namun dari situasi pernah dilalui itu mampu mematangkan diri kita.

Bagi pelakon dan usahawan, Norman Hakim, 46, kegagalan dialaminya dalam rumah tangga pertama lalu, membuka ruang padanya bermuhasabah diri dan menghargai segala apa yang dimilikinya kini.

Bintang filem Pasrah ini berkata, sekarang dia menjadi suami dan bapa yang amat mementingkan keluarga. Jelasnya, keutamaan kini adalah kebahagiaan anak-anak dengan perhatian kasih sayang buat mereka.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan nikmat kebahagiaan keluarga yang diberikan Allah ini. Bagi saya, ia pencapaian terbesar dalam hidup supaya dapat dicontohi anak-anak suatu hari nanti.

"Kasih sayang dalam keluarga penting dan perlu diutamakan. Itu yang cuba saya lakukan dengan memberi fokus terbaik untuk keluarga. Alhamdulillah, saya dan isteri, Memey Suhaiza saling berusaha menggembirakan keluarga kami," katanya.

Norman berkata, dia juga berbesar hati melihat hubungan baik Memey bersama bekas isteri iaitu pelakon dan penyanyi, Abby Abadi yang akrab. Jelasnya, mereka semua berusaha memupuk keharmonian dalam keluarga.

BAHAGIA, Norman bersama enam anaknya.
BAHAGIA, Norman bersama enam anaknya.

"Itu yang saya cakap, pengalaman pernah 'jatuh' dalam kehidupan banyak membawa pengajaran buat saya. Ia membuatkan saya menjadi insan yang amat menghargai setiap apa dimiliki kini.

"Saya nak menjelaskannya lebih lanjut agak sukar sebab tidak mahu dilihat seperti hendak mengajar pula. Cuma bagi saya asas keharmonian dalam keluarga itu yang menjadi 'kunci' adalah kasih sayang," katanya.

Norman yang sebelum ini cukup popular juga dengan drama Gerak Khas berkata, sekarang macam mana sibuk dan banyak kerja pun, dia pastikan kualiti masa bersama isteri, anak-anak dan keluarga tetap ada.

Menurut Norman, apa yang difahamkan daripada maklumat semasa, kes penceraian suami isteri kini meningkat. Katanya, di Selangor saja, dimaklumkan berlaku kira-kira 18,000 kes perceraian dalam setahun.

"Apa yang saya boleh kongsi, bagi pasangan di ambang perceraian cuba elakkan ia berlaku. Jangan buat keputusan terburu-buru dan berbincang sebaik-baiknya antara satu sama lain.

NORMAN dilantik menjadi duta produk Ecolite.
NORMAN dilantik menjadi duta produk Ecolite.

"Untuk saya dan isteri, bersama bekas isteri serta suaminya, kami cuba menjadi satu keluarga besar yang menjaga hubungan baik demi anak-anak untuk jangka panjang. Bagi kami, lebih penting sekarang adalah anak-anak 'happy' (gembira)," katanya.

Norman berkata, Memey juga menjadi individu yang memberi semangat dan sokongan penuh buatnya. Kata bapa enam anak ini, dia sekarang mengharapkan dan berdoa kebahagiaan keluarganya terus dipelihara Allah SWT.

Terdahulu Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 2002 dan dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 19, Marissa Dania Hakim, 17, dan Maria Danisha Hakim, 14. Namun, mereka bercerai pada 2008.

Kemudian, Norman bertemu jodoh kali kedua dengan Memey yang pernah aktif berlakon sebelum ini pada September 2011. Kini mereka memiliki tiga anak iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 9, Muhammad Dikhriz Hakim, 7, dan Mikayla Delisha Hakim, 4.

Bersenam, jaga kesihatan

Meninjau perkongsian di media sosial Norman seperti Instagram, kelihatan dia aktif bersenam dan menjaga pemakanan. Katanya, dia menjalani amalan hidup sihat pada usia melewati 40 tahun.

"Kini bersenam rutin harian saya. Begitu juga amalan pemakanan sihat dijaga kerana saya percaya banyak masalah kesihatan dialami berpunca daripada pemakanan harian kita.

"Malah, Alhamdulillah juga hasil daripada kecenderungan menjaga kesihatan, saya dilantik menjadi duta produk Ecolite iaitu jenama minuman kesihatan berasaskan herba dan tongkat Ali keluaran syarikat antarabangsa," katanya.

Norman berkata, dia juga tidak menyangka dirinya masih dipilih sebagai duta produk pada usia sekarang. Jelasnya, ini rezeki dan sebagai pengguna, produk minuman kesihatan itu, ia sesuai dengan dirinya yang kekal bertenaga.

Katanyanya, dengan pendekatan menjaga kesihatan dilakukan, anak-anaknya juga mengikut sama bersenam dan mengambil pemakanan harian yang berkhasiat dan seimbang.

"Semuanya bermula dari rumah dan saya juga bertuah, isteri suka memasak. Jadi, saya akan berkongsi menu makanan untuk disediakan. Setakat ini, anak-anak kami pun sudah terbiasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 7:00 AM