PAKAIAN rekaan Rizman Ruzaini yang digayakan Natasha Hudson di majlis pelancaran produk kecantikan yang mencetus kontroversi, baru-baru ini.
PAKAIAN rekaan Rizman Ruzaini yang digayakan Natasha Hudson di majlis pelancaran produk kecantikan yang mencetus kontroversi, baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Master Partner yang juga rakan kongsi produk suplemen kesihatan Crystal C White, Nor Shahlina Abu terkilan dengan jawapan balas pereka fesyen, Rizman Ruzaini berhubung pakaian 'muslimah seksi' yang digayakan pelakon, Natasha Hudson, kelmarin.

Nor Shahlina berkata, pereka fesyen itu tidak patut melatah dengan menghentam kembali siapa pun pemakainya.

"Sebagai pereka fesyen, dia tak patut menghentam balik terhadap siapa pun yang memakai baju rekaannya termasuklah Natasha. Rekaan baju yang dianggap kontroversi kerana kononnya mendedahkan bahagian bahu dan betis Natasha berlapik. Ia ada 'lining' dan bukannya bahagian bahunya terdedah.

"Cara pereka fesyen itu menjawab seperti marah dan seolah-olah hina sangat Natasha menggayakan pakaian rekaannya. Sepatutnya dia mempertahankannya dengan bercakap benda yang lebih elok dan bukannya menambah bara. Cara Rizman menjawab memang seperti menghentam dan menghina," katanya.

Menurut Nor Shahlina, Rizman sepatutnya bersifat neutral.

"Baju itu dibeli dengan duit dan bukan dengan air liur. Ia bukan pakaian tajaan. Hormat sikit pembeli baju itu iaitu saya. Mereka peniaga yang menjalankan perniagaan fesyen sepatutnya faham dengan konsep 'customer is always right," katanya.

Terdahulu, Rizman terkejut ketika mengetahui koleksi rekaannya itu dipakai selebriti bertudung.

Menurut Rizman, baju berwarna putih dengan gaya terdedah pada bahagian bahu itu dibeli seseorang yang tidak diketahui identitinya menerusi atas talian tiga bulan lalu.

"Baju itu adalah koleksi pakaian pengantin yang dibuat sejak tiga tahun lalu dan dilelong dengan potongan harga sebanyak 90 peratus. Sebagai pereka, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seseorang yang bertudung. Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizaman Ruzaini yang sudah bertapak sejak 15 tahun lalu," katanya.

Menurut Rizman, dia sudah banyak bekerjasama dengan ramai selebriti bertudung seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan tahu bentuk pakaian yang bersesuaian dengan imej wanita menutup aurat.

"Saya marah juga apabila mendapat tahu dia (Natasha Hudson) yang memakai baju itu kerana dia bertudung. Rekaan baju itu direka untuk wanita tidak bertudung dan pernah digayakan Fasha Sandha," katanya.

Dalam pada itu, Rizman turut menegur penatarias yang menggayakan Natasha kelmarin supaya lebih peka dengan imej seorang wanita Muslimah yang bertudung supaya menjaga sensitiviti masyarakat.

Terdahulu, tindakan Natasha menggayakan pakaian yang seolah-olah menampakkan bahagian bahu ketika majlis pelancaran produk kecantikan itu heboh diperkatakan.

Bahkan, pakaian yang dipakainya juga mempunyai belahan pada bahagian belakang sehingga menampakkan betisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 5:07 PM