Yusliza Yakimir Abd Talib

Apabila memperkatakan soal fesyen, cita rasa berbeza pada setiap individu menyebabkan pereka fesyen perlu mempunyai identiti rekaan tersendiri.

Lantas tidak hairan industri fesyen tanah air semakin menyinar dengan kehadiran bakat muda yang kreatif serta sentiasa mengikuti perkembangan fesyen semasa termasuk fesyen Muslimah.

Jika kebanyakan butik mempertaruhkan rekaan pakaian sedia dipakai, pereka muda Norshazana Natasha Mazalan, 29, pula lebih selesa menawarkan rekaan pakaiannya secara tempahan mengikut saiz pembeli.

Di bawah labelnya sendiri, Natasha Mazalan, rekaannya lebih ringkas dan tampak elegan.

Bagaimanapun, ramai pelanggan yang memiliki pelbagai saiz dan bentuk badan tidak dapat menggayakan rekaan seumpama itu dengan selesa.

Ini kerana katanya, kebanyakan jenama menawarkan saiz standard yang mungkin ada sesetengah wanita tidak muat atau berasa selesa memakainya.

“Jadi kami sediakan rekaan menarik dengan perincian mewah, tapi tidak sarat, serta material selesa dan sesuai untuk ibu yang menyusu manakala warna boleh dipilih mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Sempena Aidilfitri ini, koleksi Desire by Natasha Mazalan Lebaran menawarkan enam pilihan rekaan dengan 12 warna dan mengikut saiz mereka sendiri.

Koleksi itu lebih menggunakan rona terang mengikut trend terkini, namun lebih menarik, pelanggan juga boleh meminta warna tema mereka sendiri selain warna yang disediakan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berkata, bagi rekaan kali ini, fabrik digunakan antaranya sifon, como crepe, shantung dan valentro yang sesuai dengan cuaca di negara ini, tidak melekap pada badan serta selesa untuk ibu menyusu.

Tempahan diambil mengikut saiz pelanggan sejak April lalu dan mendapat sambutan menggalakkan kerana pembeli rata-rata selesa jika pakaian dihasilkan mengikut saiz mereka sendiri

“Alhamdulillah, koleksi ini juga mendapat permintaan dari negara jiran Singapura dan Brunei. Koleksi tempahan ini bermula dari RM190.

“Saya kini dalam perancangan bergiat lebih aktif untuk menghasilkan pakaian sedia dipakai yang tidak terhad hanya pada musim perayaan selain menerima tempahan busana pengantin,” katanya.

Tempahan boleh dibuat melalui Instagram natashamazalan atau melalui e-mel [email protected] atau berkunjung ke butik itu di Pusat Komersial TSB Sungai Buloh, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:01 AM