PERLU ada situasi menang-menang antara pereka fesyen, artis supaya tiada sesiapa rugi.
PERLU ada situasi menang-menang antara pereka fesyen, artis supaya tiada sesiapa rugi.
Ridzuan Abdul Rahman

Antara menaja dan menjual, mana lebih untung? Ini antara dilema yang mungkin dihadapi pereka fesyen artis tempatan.

Sekiranya berterusan menaja tanpa produk dibeli langsung oleh artis, setakat mana pula mereka mampu bertahan sedangkan kos membuat pakaian semakin meningkat?

Perlu ada situasi menang-menang antara kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa yang rugi.

BLING! minggu ini berkongsi pandangan beberapa pereka fesyen popular bagi isu ini.

Anuar Faizal

“Apabila saya menaja, harus dipastikan bahawa artis terbabit perlu komited untuk memakai baju yang disediakan dan paling penting, turut mempromosikannya.

Dilemanya di sini, apabila ramai artis suka mencari tajaan pada saat akhir dan mengharapkan hasil terbaik.

Dilema bertambah lagi apabila permintaan dibuat oleh artis gred A kerana ia penting kepada profil kami.

Kerana itu kami sanggup tak tidur dan berhempas-pulas bagi menyiapkan permintaan mereka walaupun sibuk dengan pelanggan lain.

Mungkin ramai tak tahu ini adalah hubungan kerja dua hala apabila kami akan sediakan rekaan yang terbaik dan artis perlu kredit dan promosikan hasil kerja kami di laman sosial.

Situasi ini berbeza di Hollywood apabila pereka fesyen diberi jaminan bahawa setiap rekaan yang dipakai oleh artis akan mendapat pendedahan media yang cukup meluas.

Tetapi di Malaysia ada artis yang begitu berat mulut untuk berterima kasih kepada pereka yang berkerja keras untuk mereka!

Menyedihkan lagi apabila tiba waktu untuk tempah atau membeli, boleh pula mereka mencari pereka lain dan lupakan kami.

Bagaimanapun, ada juga artis yang sangat prihatin dan berbudi apabila mereka mencadangkan kami kepada saudara-mara dan sahabat bagi menempah baju.”

Putra Cosry

“Dilema antara tajaan dan beli, sebenarnya ia bergantung kepada situasi juga. Kadangkala artis yang bernama besar rasa dia boleh mendapat tajaan.

Begitu juga pereka fesyen yang memerlukan publisiti untuk menaikkan namanya dan sudah tentu artis popular jadi pilihan.

Saya lebih suka berbincang terlebih dahulu dengan mana-mana selebriti sebelum menjalinkan kerjasama contohnya berapa bajet yang perlu dikeluarkan.

Jadi, tak juga sepenuhnya saya taja mereka. Pada saya dua-dua ada ‘demand’. Namun sekiranya pereka fesyen ini berasakan dia ada nama dan perlu jual daripada menaja, itu haknya.

Tak dinafikan ada juga selebriti yang ambil kesempatan sentiasa minta tajaan tapi bukan semua kerana ada antaranya yang sokong perniagaan kami.

Alhamdulillah setakat ini saya tak pernah berdepan situasi artis sentap apabila tak diberikan tajaan. Bahkan ada yang beli dan bantu mempromosikan hasil rekaan saya di laman sosial mereka.”

Rizman dan Ruzaini

“Isu taja dan beli pada saya bukan masalah besar kerana kalau kita tengok fenomena ini di peringkat antarabangsa, ia perkara biasa.

Selebriti memang akan menggayakan rekaan, contohnya Rihanna pernah menggayakan beg tangan Marc Jacobs.

Di Malaysia juga sama dan mungkin fenomena ini baru berlaku. Mungkin ketika dulu-dulu ada selebriti yang menempah pakaian dengan pereka fesyen kita tapi sekarang konsep tajaan sudah berkembang luas.

Di ibarat, kalau Nicole Kidman nak ke Oscar, ‘stylist’ beliau akan dapatkan lima busana termasuk daripada Christian Dior.

Baju mana yang akhirnya dipilih dikira bawa tuah kepada pereka fesyen itu. Begitu besarnya pengaruh selebriti kepada fesyen.

Saya sendiri dah lama bekerjasama dengan artis dan langsung tiada masalah dalam hal ini. Namun tajaan itu perlu bersesuaian dengan majlis asalkan bawa pulangan kepada kami.

Sekiranya penyanyi ada persembahan majlis makan malam, baru mereka akan tempah baju dengan kami.

Harga yang diberikan istimewa berdasarkan kerjasama yang sudah lama terjalin.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:03 AM