Rizman Ruzaini (tengah) bersama barisan selebriti terkenal yang menjadi 'muse' jenama mereka.
Rizman Ruzaini (tengah) bersama barisan selebriti terkenal yang menjadi 'muse' jenama mereka.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pereka fesyen duo terkenal Rizman Ruzaini sanggup berhabis dengan menggunakan khidmat selebriti popular tanah air bagi mewakili produk mereka.

Rizman, 38, atau nama sebenarnya Rizman Nordin berkata, bekerjasama dengan selebriti sudah menjadi 'trademark' mereka sejak 17 tahun lalu lagi selain yakin dengan kemampuan selebriti yang dilantik.

"Alhamdulillah, ini tahun ke-17 kami berada dalam industri fesyen dan hiburan tanah air. Sejak dahulu lagi kami memang selesa untuk bekerjasama dengan selebriti. Bukan soal hubungan sahaja, namun bagaimana golongan ini juga memberi impak yang baik terhadap jenama RR," katanya.

Malah, bersempena meraikan ulang tahun pertama RR Mono Scarves, Rizman Ruzaini melantik tujuh selebriti menjadi 'muse' bagi koleksi tudung ini.

Mereka terdiri daripada Ziana zain, Izara Aishah, Aina Abdul, Amyra Rosli, Kilafairy, Hawa Rizwana dan isteri Rizman, Nurida Suraya.

"Pemilihan tujuh selebriti ini dalam mewakili koleksi tudung RR adalah satu pilihan yang tepat dalam memastikan jenama kami kekal relevan dalam industri fesyen negara.

"Soal mengapa tujuh selebriti ini dipilih kerana kami melihat setiap daripada mereka mempunyai golongan peminat yang berbeza. Sesuai dengan impian kami untuk memastikan jenama RR diterima setiap golongan, jadi melalui pengenalan selebriti ini mampu merealisasikan harapan kami untuk memastikan RR menjadi antara jenama fesyen yang dekat dengan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, pada majlis sambutan ulang tahun yang diadakan di sini, hari ini, Rizman Ruzaini turut mengumumkan pemenang Face of RR Hijab yang membawa pulang wang tunai serta kontrak bernilai RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:43 PM