AINAN  bersalin anak kembar. FOTO IG AINAN
AINAN bersalin anak kembar. FOTO IG AINAN
Oleh Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Ainan Tasneem, 28, berkongsi bersalin anak kembar lelaki dan perempuan secara normal di Hospital Salam, Shah Alam, kelmarin.

Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan memanjatkan kesyukuran kerana proses bersalin itu dipermudahkan.

"Saya selamat melahirkan sepasang bayi kembar soleh dan solehah pada hari Jumaat hari yang barakah, 18 Disember di Hospital Salam Shah Alam pada pukul 11.52 pagi dan 12.11 tengah hari. 

"Alhamdulillah saya direzekikan untuk melahirkan kedua mereka dengan selamat secara bersalin normal. Semuanya dengan izin Allah dan asbab memilih untuk melahirkan dengan Dr Siti Mariam yang sangat handal dalam mengendalikan kelahiran kembar.

"Terima kasih sangat kepada Dr Siti dan jururawat yang banyak membantu di Hospital Salam. Semoga kedua bayi ini akan menjadi da'i dan da'iah, hafiz dan hafizah, mukmin dan mukminah, penyejuk hati Ainan dan Ariff dan berbakti pada semua orang," katanya.

Penyanyi Aku Suka Dia itu mendirikan rumah tangga dengan Ariffudin Mohammad Swaimi, 29, pada 6 Januari 2017.

Pasangan itu dikurniakan cahaya mata sulung, Ainan Salsabiela pada 2018 yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 2:52 PM