Pasangan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan. FOTO HM KHAIRUL HELMY/VIDEO SDT
Pasangan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan. FOTO HM KHAIRUL HELMY/VIDEO SDT
Sudirman Mohd Tahir


Shah Alam: Penyanyi Ainan Tasneem, 25, sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi, 26, jam 5.55 petang tadi dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjud Sultan Salahudin Abdul Shah Shah, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Dr Ridzuan Mohd Sagir dalam sebuah majlis ringkas dan sederhana.

Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan menerima mas kahwin RM300 beserta lima dulang hantaran manakala pihak Ainan membalas dengan tujuh dulang.

Sementara itu, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

"Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan lancar. Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan majlis pernikahan ini. Walaupun ia diadakan dalam suasana sederhana, tapi ia memberi makna tersendiri buat saya dan suami.

"Selepas ini bermulalah fasa baru dalam kehidupan saya sebagai isteri. Sejujurnya saya tak sabar nak memikul tanggungjawab ini.

"Semoga limpah rahmat dan berkat sentiasa memayungi perkahwinan kami. Saya juga berdoa agar perkahwinan ini mendapat keredaan Allah SWT dan berkekalan sehingga ke syurga," katanya yang popular dengan lagu Aku Suka Dia.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.

Pada majlis itu, kedua mempelai sama cantik dan sama padan dalam persalinan rekaan Wajie Ibrahim.

Majlis persandingan akan diadakan di Hotel Blue Wave, Shah Alam pagi esok yang bertemakan Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 6:51 PM