AINAN Tasneem disahkan hamil anak kembar. FOTO IG
AINAN Tasneem disahkan hamil anak kembar. FOTO IG
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Ainan Tasneem yang disahkan hamil anak kembar berharap dapat bersalin secara normal tanpa sebarang komplikasi.

Memasuki usia kehamilan 36 minggu, Ainan berkata, dia dijangka bersalin selewat-lewatnya minggu depan.

Ainan menerusi satu hantaran di Instagram berkata, kini dia kerap sakit belakang dan pinggang serta sukar tidur memandangkan perutnya semakin membesar.

"Sebenarnya memang tak larat dah nak bawak perut. Sakit pinggang, sakit belakang, malah ketika tidur pun lenguh-lenguh badan padahal tak ada buat apa-apa aktiviti pun.

"Kalau nak tukar kedudukan masa tidur memang sakit sangat. Rasa nak menangis. Berdiri pun tak boleh lama sangat, kalau tak memang menggigil kaki," kata penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Dia ini.

Ainan berkata, dia turut mendoakan sesiapa yang sedang berusaha dan menantikan zuriat mendapat khabar gembira tidak lama lagi.

"Saya doakan kepada sesiapa di antara pengikut saya yang sedang berusaha dan sedang menantikan zuriat, semoga anda juga akan mendapat berita gembira tak lama lagi.

"Allah akan bagi tepat pada waktunya. Percaya dengan perancangan Allah ya," tulisnya.

Ainan yang mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Ariffudin pada 7 Januari 2017 sudah memiliki seorang anak perempuan, Ainan Salsabiela yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 2:28 PM