Dakota Johnson dan Chris Martin.
Dakota Johnson dan Chris Martin.
Agensi

 

Los Angeles: Percintaan pasangan selebriti, Dakota Johnson dan Chris Martin kini memasuki fasa baharu apabila mereka membuat keputusan bertunang.

Dakota yang juga anak kepada pelakon Don Johnson dan Melanie Griffith kelihatan memakai cincin hijau zamrud bersaiz besar di jari manis kiri pada minggu lalu sekaligus menunjukkan dia sudah bertunang dengan vokalis kumpulan Coldplay itu.

Dakota, 31, dan Chris, 43, mula menjalinkan hubungan pada Oktober 2017 tetapi putus cinta pada Jun tahun lalu.

Mereka kemudian kembali bercinta pada Ogos tahun lalu dan mengambil keputusan bertunang baru-baru ini. Bagaimanapun wakil kepada kedua-dua mereka belum mengesahkan perkara itu kepada media. 

Awal tahun ini, pasangan itu bekerjasama apabila Dakota mengarahkan muzik video untuk kumpulan Coldplay. 

Pasangan itu juga pertama kali keluar bersama ketika menjamu selera di sebuah restoran sushi di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2017.

Tidak terhenti di situ, pelakon filem Fifty Shades of Grey itu seterusnya terbang ke Buenos Aires, Argentina untuk menyokong konsert jelajah Coldplay yang diadakan secara besar-besaran di seluruh dunia.

Chris sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Gwyneth Paltrow pada Disember 2003, namun bercerai selepas 10 tahun hidup bersama. 

Hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai sepasang anak, Apple, 16, dan Moses, 14 tahun.

Paltrow dikatakan turut merestui hubungan pasangan terbabit.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 9:49 AM