PAKAIAN berwarna-warni dalam video muzik Dynamite akan dilelong pada acara Grammy Week. - FOTO Google
PAKAIAN berwarna-warni dalam video muzik Dynamite akan dilelong pada acara Grammy Week. - FOTO Google

ANNYEONGHASEYO!

Selepas kejayaan luar biasa lagu Dynamite, BTS memutuskan untuk mendermakan pakaian digunakan dalam video muziknya kepada pihak Grammy. Tujuan didermakan adalah untuk melelong pakaian terbabit di acara tahunan Grammy Week.

Acara terbabit yang dianjurkan Grammy Museum dan MusiCares bakal melelong pakaian mereka pada harga RM81,500 hingga RM163,000. Ia termasuk kemeja-T, kasut dan seluar yang dipakai dalam video terbabit.

Pengarah Eksekutif MusiCares, Martin Nolan berkata, ini kali pertama BTS membuat lelongan untuk baju mereka yang sememangnya memberikan makna tersendiri buat semua pihak dengan keputusan itu.

MusiCares adalah badan tidak berasaskan keuntungan yang membantu dalam membiayai program kesihatan dan kebajikan kepada pemuzik.

Hasil daripada lelongan itu akan digunakan untuk membantu yang terkesan teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Presiden Julien's Auctions, Darren Julien pula menyifatkan sumbangan BTS itu sememangnya sangat istimewa. Sebagai pengendali acara itu nanti, pihaknya sangat berbesar hati dengan pembabitan BTS pada tahun ini.

"Tiada lain yang kami boleh fikir dijadikan fokus utama kecuali sumbangan Dynamite daripada BTS sendiri dalam usaha MusiCares ini. Muzik mereka sangat meledak dan mengangkat mesej mengenai harapan dan sikap optimis.

"Itulah yang seluruh dunia inginkan ketika ini. Kami berterima kasih kepada BTS atas sumbangan ikhlas menerusi barangan istimewa mereka itu. Hasil kutipan dana nanti akan disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan," katanya.

BTS tidak dinafikan sentiasa tampil menyumbang dalam pelbagai saluran dan melakukannya saban tahun. Apa saja barangan mereka memiliki nilai yang sangat tinggi dan pastinya akan laku dalam acara lelong.

Tahun lalu, kumpulan itu tidak terkecuali turut menyumbang dalam acara lelong berprestij terbabit. Mereka menyumbangkan set mikrofon dicipta khas berserta tanda tangan mereka kepada Grammy Week.

Hasil daripada jualan itu, pihak Grammy berjaya mengutip sejumlah RM339,000 daripada jualan mikrofon itu saja. Dana itu kemudian disalurkan kepada organisasi yang membantu dalam pelbagai saluran kebajikan.

Pada tahun ini, acara lelong Grammy Week akan dilangsungkan pada 29 Januari sebelum Grammy Awards 2021 mengambil tempat. BTS turut tercalon buat pertama kali dalam anugerah itu menerusi kategori Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:46 AM