HAQIEM dinobat Bintang Paling Popular ABPBH 33 mahu hadiahkan kemenangan pada orang tuanya
HAQIEM dinobat Bintang Paling Popular ABPBH 33 mahu hadiahkan kemenangan pada orang tuanya
Najiy Jefri

Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat lalu disambut dalam suasana normal baharu dan cukup berbeza.

Apa tidaknya, anugerah yang ditunggu-tunggu ramai ini menyaksikan ketiadaan ribuan peminat selain jemputan artis yang hadir juga terhad pada malam kemuncak itu.

Meskipun disambut dalam suasana yang sederhana susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini selain perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, namun acara gilang-gemilang itu diraikan dengan penuh meriah.

Lebih mengujakan, ABPBH 33 menyaksikan kejayaan penyanyi muda berbakat besar, Haqiem Rusli dinobat sebagai pemilik trofi Bintang Paling Popular.

Penyanyi, komposer dan penulis lirik berusia 22 tahun itu memperoleh sebanyak 22,332,676 undi sepanjang tempoh undian ABPBH 33 dibuka sejak awal Oktober lalu hingga 8 November lalu.

"Terima kasih kepada Allah kerana memberi rezeki ini. Terima kasih kepada keluarga

serta mak dan abah yang sentiasa menjadi tulang belakang saya. Saya harap mak dan abah bangga dengan saya.

"Saya tak pernah menjangkakan kemenangan ini. Insya-Allah, saya akan menggunakan anugerah dengan sebaik-baiknya. Jujurnya, ia sangat besar bagi saya.

"Anugerah ini tak pernah saya jangka, saya tak tahu nak cakap. Saya sangat gembira dengan anugerah ini," katanya.

Haqiem tidak menolak usahanya membahagiakan orang tuanya adalah faktor besar mempengaruhi kemenangannya.

Sehubungan itu, Haqiem berhasrat memberikan hadiah anugerah utama itu kepada bapanya.

Kemenangan itu melayakkan Haqiem membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100 peratus dan sifar emisi berharga RM181,263, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berserta trofi.

Selain meraih trofi utama yang menjadi rebutan, Haqiem turut membawa pulang anugerah Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia yang menewaskan Khai Bahar yang mendominasi kategori itu selama tiga tahun berturut-turut serta kategori Lagu Paling Boom Popular menerusi singlenya, Lembah Kesepian.

HAQIEM bersama kereta dimenangi.
HAQIEM bersama kereta dimenangi.

Terdahulu, pada ABPBH 32, Haqiem turut memenangi kategori sama menerusi lagu Selamat Tinggal Sayang.

Tambah Haqiem, kemenangan itu adalah dari niat yang ikhlas setiap kali menghasilkan karya.

"Tidak kisahlah kita mahu mengeluarkan lagu berkisarkan apa sekalipun, yang penting adalah niat, sekiranya niat yang positif diterapkan, pasti hasilnya juga positif.

"Malah, jangan terburu-buru dalam menghasilkan sesebuah karya. Saya akui ambil masa lama untuk pastikan setiap lagu yang ingin dikeluarkan memiliki melodi yang kuat dan sesuai dengan halwa telinga peminat," katanya.

Ditanya mengenai kejayaannya menumpaskan senior lain seperti Elly Mazlein, Siti Nordiana, Wany Hasrita dan Khai Bahar yang menjadi sebutan menggengam trofi Bintang Paling Popular, Haqiem tetap memegang prinsipnya iaitu semuanya berbalik kepada rezeki.

"Jika penganjuran sebelum ini menyaksikan kejayaan Mira Filzah, tapi tahun ini milik saya. Anggap kali ini rezeki saya dan sudah ditentukan Ilahi.

"Kalau ditanya mengenai harapan saya selama tiga tahun dicalonkan pada anugerah ini, sejujurnya saya sangat berharap, tapi saya tak pernah jangka ia akan menjadi kenyataan.

"Dulu ketika usia 14 tahun, saya tonton anugerah ini di kaca TV dan hanya menyimpan angan-angan, tak sangka impian saya menjadi realiti tahun ini," katanya.

TEWASKAN Khai Bahar bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.
TEWASKAN Khai Bahar bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Kecaman

Tidak ambil pusing dengan sebarang kecaman yang bakal ditempuhi membabitkan kemenangan yang diraih, Haqiem berkata, ia sudah menjadi lumrah kepada insan seni.

"Saya pernah lalui kecaman yang lagi teruk. Jadi kecaman mengenai isu pertikaian atau apa saja ini adalah satu perkara biasa. Lagipun mereka ada pendapat masing-masing.

"Apapun kecaman yang diterima saya reda. Apa yang penting saya tahu apa yang saya buat. Saya dengar dan belajar daripada segala kesilapan serta sentiasa perbaiki diri menjadi lebih baik," katanya.

Kejayaan terbesar yang diraih tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dan usaha keras kelab peminatnya dikenali Qiemilio.

"Saya tengok senarai pemenang yang lalu, Mira Filzah menang dengan enam juta undian. Ia satu jumlah yang sangat banyak, tapi bila saya tengok jumlah undian saya, jujurnya saya sangat bangga dengan usaha yang diberikan Qiemilio.

"Saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga serta Qiemilio yang sentiasa menyokong saya, berhempas pulas tidak tidur malam untuk melihat saya memegang trofi ini. Ini adalah satu penghargaan yang sangat berharga dan besar bagi saya.

"Ia juga satu detik yang tak mungkin saya dapat lupakan. Anugerah ini saya sifatkan sebagai hadiah untuk saya dan peminat saya. Terima kasih kerana menyokong saya dari 2016 sehinggalah sekarang. Saya tak boleh nak lakukan apa-apa melainkan mengucapkan terima kasih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 6:00 AM