AZIRA seronok dapat mengacarakan Vokal Mania.
AZIRA seronok dapat mengacarakan Vokal Mania.
Georgie Joseph

SEJAK penggiat seni dibenarkan kembali bekerja beberapa bulan lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jelas peluang itu tidak disia-siakan. Tidak terkecuali, pelakon, pengacara dan penyanyi Azira Shafinaz.

Azira atau nama sebenar Azira Shafinaz Ramlan, 29, bersyukur rezekinya tidak putus dan mengakui dia tidak menang tangan memperoleh tawaran.

Justeru, dia nekad mahu menggunakan baki beberapa bulan yang tinggal dalam tahun ini untuk aktif bekerja.

Kini rancak mengacarakan program realiti Vokal Mania TV3, anggota De Fam itu sebenarnya tidak terikat dengan komitmen terbabit sahaja.

Jadual hariannya padat dengan pelbagai kerja lain termasuk penggambaran.

"Boleh dikatakan, kesibukan saya berganda sejak dapat kembali bekerja. Hakikatnya, setiap hari ada saja tuntutan kerja yang perlu dilunaskan. Memang saya akan sibuk sehingga penghujung tahun ini.

"Buat masa sekarang, saya menjalani penggambaran untuk drama kerjasama TV3 dan Viu berjudul Isteri Misteri. Pada masa sama, saya turut terbabit dalam penggambaran drama Penjara Janji untuk slot Samarinda TV3," katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam Vokal Mania, Azira mengakui masih dalam fasa memperkuat cara pengacaraannya apa lagi digandingkan dengan Datuk AC Mizal. Dia tidak menafikan cabaran agak besar buatnya kali ini.

Mana tidak, ia bukan pertama kali dia menjadi pengacara sebaliknya sebelum ini pernah mengendalikan beberapa program TV. Bagaimanapun, dia mengakui pendekatan dalam program itu berbeza dengan corak pengacaraan program kecil.

"Disebabkan ia sebuah program siaran langsung, banyak perkara yang perlu saya pelajari dan perbaiki. Saya akui bukan senang untuk mengemudikan program sebegini terutama apabila terlanjur buat silap.

"Selain perlu tonjolkan keserasian yang baik dengan Datuk AC, saya juga kena bijak mengendalikan situasi apabila berlaku kesilapan. Yang penting, kena bijak mengawal rasa gementar dan tahu apa nak cakap.

"Aspek itu masih saya cuba kuasai sekarang ini, demi menyesuaikan diri. Disebabkan itu, saya berusaha melakukan kajian sebanyak mungkin supaya lebih mudah dan tahu apa yang cuba disampaikan," katanya.

Berkongsi mengenai program itu sendiri, Azira mengakui sangat terinspirasi daripada semangat peserta muda yang bertanding. Baginya, semangat ditunjukkan mereka sangat mengagumkan sehingga dia sendiri tersentuh.

"Paling membuatkan saya tabik dengan mereka adalah semangat juang untuk memastikan diri masing-masing memberikan yang terbaik. Meskipun ada dalam kalangan mereka pertama kali memijak pentas, mereka tidak mudah mengalah.

"Apabila memikirkan jika saya yang berada di tempat mereka, saya pula rasa ketar lutut. Tidak dinafikan, ada antara peserta yang masih berasa takut namun sebaik naik pentas, persembahan mereka buat saya terlopong," katanya.

Dalam pada itu, Azira mendedahkan dia bakal kembali memberi fokus kepada karier bersama De Fam pada tahun depan.

Menurutnya, sudah tiba masa untuk kembali aktif dalam nyanyian.

Namun katanya mereka akan tampil dengan hala tuju berbeza pula selepas ini berbanding di awal kemunculan dulu. Baginya, pendekatan itu diambil sebagai menyesuaikan diri dengan kematangan setiap anggotanya sekarang.

"Selepas lima tahun dalam industri, De Fam akan cuba untuk menukar hala tuju kepada genre berentak balada pula. Percubaan ini tidak lain seiring dengan kematangan kami sebagai penyanyi.

"Namun elemen dan identiti De Fam masih dikekalkan termasuk bahagian rap yang begitu dekat dengan muzik kami. Dengan pendekatan itu, kami berharap dapat memikat lebih ramai pendengar dewasa terhadap muzik kami," katanya.

Selain Azira, De Fam turut dianggotai Cik Manggis dan Sophia Liana. Kumpulan itu meledak sekitar 2015 apabila tampil dengan lagu #SUPERGIRLS yang sekali gus menempatkan mereka dalam liga tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:40 AM