DE FAM.
DE FAM.
Ramlah Zainal

NAMA kumpulan trio wanita popular De Fam meniti di bibir peminat hiburan tanah air menerusi lagu #Supergirl yang dihasilkan pada 2015.

Selepas #Supergirl, kumpulan ini tidak lagi menoleh ke belakang menerusi single With You menampilkan Brandon Beal dan Bila Ada Kamu pada 2017.

Selepas dua tahun menyepi, De Fam kembali dengan single terbaharu berjudul Panas, sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Menurut anggota kumpulan itu, Azira Shafinaz, Panas adalah pertaruhan terbaharu mereka dalam bidang nyanyian.

“Single Panas mendapat sentuhan komposer Alif dan mengangkat tema memperkasakan wanita seperti lagu-lagu terdahulu kami.

“Kami mengharapkan single terbaharu ini dapat sambutan daripada peminat kerana mesej positif lagu ini juga memberi inspirasi kepada kaum hawa,” katanya.

Selain Azira, De Fam dianggotai Sophia Liana dan Cik Manggis.

Mengulas mengenai proses rakaman, Azira menjelas, ia membabitkan proses yang teliti kerana mahukan hasil terbaik.

“Maklumlah, kami sudah dua tahun tiada lagu baharu dan peminat tentu menaruh harapan tinggi.

“Alif juga terpaksa menukar demo lagu sebanyak tiga kali kerana mahu hasil yang terbaik untuk single terbaharu kami.

“Proses rakaman single Panas berlangsung awal tahun ini. Sophia dan Cik Manggis masuk studio terlebih dulu dan saya pula merakamkan bahagian saya pada keesokan harinya,” katanya.

SOPHIA.
SOPHIA.

Kata Sophia pula, single Panas menonjolkan kematangan kumpulan De Fam dalam bidang muzik.

“Peminat tentu bandingkan lagu Panas dengan lagu popular kami #Supergirl.

“Lagu #Supergirl mungkin lebih komersial dan memperkenalkan kami dalam bidang muzik,” katanya.

Menurutnya lagi, single Panas adalah genre tepat sekali gus menunjukkan siapa De Fam yang sebenar dalam bidang muzik.

“Kami juga menerima maklum balas positif daripada penonton ketika kali pertama mempersembahkan single Panas pada pentas Anugerah Bintang Popular (ABPBH32) sebelum ini,” katanya.

Azira utamakan De Fam

Walaupun terbabit dalam bidang lakonan, Azira mengakui keutamaannya tetap kepada De Fam.

“Saya akan pastikan komitmen dengan De Fam dulu sebelum terbabit dalam penggambaran lakonan.

“Kami juga baru selesai penggambaran video muzik Panas dan kini masih dalam proses suntingan.

“Jika semuanya lancar, video Panas akan dilancarkan pada hujung bulan ini atau November,” katanya.

AZIRA.
AZIRA.

Selain single bersama De Fam, Sophia bakal muncul dengan single solonya yang mendapat sentuhan Malique Too Phat.

“Saya sangat teruja kerana dapat bekerjasama dengan komposer yang juga idola dalam bidang muzik.

“Maklumlah, saya adalah rapper dalam De Fam dan memang menanti untuk muncul dengan lagu genre hip hop,” katanya.

Panas diterbit dan diedarkan Warner Music Malaysia. Single Panas dendangan De Fam boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 27 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:30 AM