Syafil Syazwan Jefri


Saat figura bernama Azira Shafinaz melangkah masuk, lengkap berbusana pengantin serba putih, setiap mata yang berada di ruangan itu terpana melihat kejelitaan anggota kumpulan De Fam ini.

Umpama ratu sehari, Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan yang tampil dalam busana indah rekaan pereka muda Akmal Hakim Ajirul mengukir senyuman dan menyapa setiap tetamu dan rakan media yang hadir di butik milik Rizman Ruzaini Couture itu.

Tampil berbusana pengantin, tentunya perbualan dengan penyanyi yang kini mencipta nama sebagai pelakon serba-boleh ini tentunya berkisar mengenai perkahwinan dan langkahnya menuju ke alam rumah tangga.

Pernah meletakkan sasaran usia 25 tahun untuk menamatkan zaman bujang, Azira berkata, usia itu sudah berlalu meninggalkannya jauh.

Namun, dia tahu, akan tiba masa untuknya menamatkan zaman bujang dan bergelar isteri.

"Saya sendiri pernah meletakkan sasaran usia 25 tahun untuk menamatkan zaman bujang. Namun, kita hanya mampu merancang dan sekarang pun dah jauh sangat dari matlamat. Jadi, kalau sudah tiba masanya, ia akan berlaku," katanya.

Ditanya mengenai kriteria lelaki yang mampu menarik perhatiannya untuk meneruskan langkah bersama ke alam rumah tangga, Azira selesa jika muncul lelaki yang mampu menambat hatinya.

"Sebenarnya, untuk menjaga hati saya tak susah pun. Saya jenis yang lembut. Jadi, kalau pandai jaga hati saya, mesti 'on' (jadi). Jadi, sekarang adalah seseorang itu yang sedang mengenali saya," katanya.

Membuka mulut untuk berkongsi mengenai kehadiran lelaki istimewa itu, Azira berkata, individu yang enggan didedahkan identitinya itu juga kini diterima baik oleh keluarga terutama ibu bapa Azira.

AZIRA Shafinaz bersiap sedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
AZIRA Shafinaz bersiap sedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

"Dia bukan orang yang bekerja di dalam industri hiburan. Saya pun masih baru lagi dengan dia. Bila saya berkawan dengan seseorang, saya nak dia menjadi orang yang jujur. Jadi, dia adalah orang yang kena dengan keluarga saya dan mereka pun suka. Dia pun tahu baik buruk saya dan boleh terima keluarga saya," katanya.

Bukan terlalu berahsia, sebaliknya tidak terlalu mendedahkan kepada umum. Itulah kata-kata yang dipegang Azira, yang mana ada juga dalam kalangan sahabat terdekatnya yang tahu mengenai kewujudan lelaki istimewa itu.

"Saya jenis manusia yang mana, kalau orang tahu (mengenai hubungan cinta), tahulah. Saya bukan jenis suka menunjuk sebab kalau kita terlalu tunjuk sangat, nanti orang akan mula bercakap. Kemudian, kalau tak ada jodoh dan ada pasangan baharu, orang akan bercakap kita bertukar pasangan pula.

"Jadi, saya lebih selesa untuk simpan. Kalau dah betul-betul muktamad, contohnya dah bertunang atau dah nak bernikah, barulah saya akan kongsikan," katanya.

AZIRA pernah merancang untuk berkahwin di usia 25 tahun.
AZIRA pernah merancang untuk berkahwin di usia 25 tahun.

Ditanya mengenai perbincangan bersama untuk menamatkan zaman bujang, Azira tidak menafikan, ada perbincangan antara dia dan cinta hatinya itu.

"Tentulah kami pernah berbual mengenai perkahwinan. Cumanya, saya biar Allah yang tentunya masa dan waktunya sebab saya percaya, kalau semuanya sudah sedia, tibalah waktunya. Saya tak nak paksa atau terburu-buru," katanya.

Katanya, timbul rasa 'cemburu' saat melihat keluarga kecil lain yang bahagia dengan kehadiran cahaya mata.

"Semakin meningkat dewasa, timbul rasa 'cemburu' setiap kali melihat orang yang memiliki cahaya mata. Saya selalu tertanya-tanya, bila akan tiba waktu saya.

"Mungkin juga kerana saya begitu akrab dengan anak-anak buah saya, jadi itu menyebabkan saya ingin memiliki cahaya mata dan keluarga sendiri," katanya.

Terbaharu, Azira bakal menjalani penggambaran untuk filem aksi pertama lakonannya menjelang Februari nanti selain karya terbaharu bersama De Fam.

"Saya akan mula menjalani penggambaran untuk filem aksi pertama lakonan saya pada Februari nanti. Itu saja yang boleh saya kongsikan buat ketika ini kerana semuanya masih dalam proses pre-produksi dan perbincangan.

"Apa yang boleh saya katakan, ia akan menampilkan sisi berbeza Azira berbanding yang anda pernah lihat sebelum ini.

"Selain itu, De Fam akan hadir dengan dengan single terbaharu selepas Aidilfitri selain satu lagu raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:02 AM