AIDIT Noh. FOTO IG Aidit Noh
AIDIT Noh. FOTO IG Aidit Noh
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Aidit Noh menjalani pembedahan malam semalam selepas disahkan menghidap masalah paru-paru berair.

Aidit, 27, ketika dihubungi berkata, dia mengalami sakit dada pada Jumaat lalu dan ditahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

"Selepas rasa sakit dada tiba-tiba muncul, saya terus merujuk ke klinik dan hanya diberikan ubat tahan sakit. Pada malam hari yang sama, rasa sakit makin menjadi-menjadi dan saya terus ke PPUKM.

"Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan saya ada masalah paru-paru berair dan perlu menjalani pembedahan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya lagi, keadaan kesihatannya hari ini semakin stabil, namun masih perlu berada di bawah pemantauan.

"Alhamdulillah, hari ini keadaan saya dah makin stabil. Cuma, saya perlu terus ditahan di wad kerana masih dipantau oleh doktor," katanya.

Aidit juga memohon peminat-peminat supaya mendoakan kesihatannya supaya kembali pulih dan dapat kembali bekerja.

Terbaru, Aidit baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Rudy vs Jolie.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 12:34 PM