ZAIRAH melihat keadaan anaknya.
ZAIRAH melihat keadaan anaknya.
Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Perubahan drastik Muhammad Faris Zafri Mohd Zulkifli, 10, yang dulunya aktif dan lasak bertukar lemah sebelum doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru bulan lalu mengejutkan keluarganya.

Sukar untuk percaya pada mulanya namun perkara itu terpaksa ditempuh pasangan suami isteri, Mohd Zulkifli Mohd Yasin, 41, dan Zairah Abu Nawan, 36.

Menurut Zairah, anaknya aktif bersukan dan lasak namun kini lemah dan hanya terlantar di rumah.

Katanya, situasi itu bermula hujung Oktober lalu apabila Muhammad Faris Zafri kerap batuk.

“Risau terhadap tahap kesihatannya, saya dan suami membawanya ke klinik sebelum doktor memberi ubat batuk serta antibiotik dan keadaannya pulih.

“Pada 21 November lalu, batuknya berulang dan dia mengalami sakit dada sebelum dirujuk ke klinik sama.

“Doktor mengeluarkan surat supaya Muhammad Faris Zafri dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar kerana masalah paru-paru,” katanyadi rumahnya di Taman Jasmin Indah, Senawang, di sini, semalam.

Zairah berkata, selepas menjalani ujian, doktor memaklumkan ada selaput putih pada paru-paru kiri Muhammad Faris Zafri.

“Doktor memaklumkan kemungkinan ia paru-paru berair atau jangkitan kuman. Namun selepas membuat imbasan tomografi berkomputer, ketumbuhan itu disahkan kanser tahap satu.

“Selepas itu, dia dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan perlu menjalani rawatan dan kemoterapi sebanyak enam sesi,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Mohd Zulkifli, 155135119216.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:53 AM