Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bedah siasat ke atas kes kematian orang kena tuduh (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan mendapati punca kematian adalah paru-paru berair.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan eleman jenayah dan kematian disebabkan paru-paru berair.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Bagaimanapun Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap kes kematian orang kena tuduh (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Azri Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kematian lelaki berusia 37 tahun itu pada jam 4.35 petang Ahad lalu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 10:52 AM