FAZLEY YAAKOB
FAZLEY YAAKOB
Najiy Jefri


 

CEF Selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengumumkan restoran miliknya, SukaSucre Bistro yang terletak di Cheras ditutup. 

Bagaimanapun jenama restoran itu bakal berpindah ke tempat baharu tidak lama lagi.

"Hari ini (semalam) adalah hari terakhir restoran saya beroperasi di Taman Pertama, Cheras. Kami akan berpindah ke tempat baharu tidak lama lagi. 

"Tapi buat masa ini kami akan tutup buat sementara, sambil menunggu kerja pengubahsuaian di tempat baharu," katanya. 

Menurut Fazley, kejayaan yang dicipta ketika menjuarai Masterchef Selebriti pada tahun 2012 membawa dirinya membuka sebuah restoran yang sudah bertahan hampir tujuh tahun. 

"Apabila saya menjadi juara untuk pertandingan memasak di televisyen pada tahun 2012, saya tidak sangka bahawa perjalanan hidup saya yang selama ini sebagai seorang artis dan usahawan, akan juga bertambah ceritanya sebagai seorang chef.

"Dengan restu dan izin arwah bapa dan ibu tersayang pada masa itu, kami mulakan SukaSucre Bistro.

"Tujuh tahun kemudian, setelah beberapa ratus artikel di media, berpuluh-puluh anugerah kami terima dan juga pengiktirafan kami terima dari dalam dan luar negara, kami kini bersedia untuk berpindah ke tempat baharu," katanya.

Dalam masa sama, Fazley merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung ketika cafe miliknya itu beroperasi.

"Terima kasih kepada semua yang pernah melanggani restoran kami. Yang datang dari dekat dan juga yang datang dari jauh. 

"Salam sayang kepada semua yang pernah berkhidmat di bawah naungan syarikat ini, baik pun sebagai anggota dapur, pengurusan, ataupun helpers/cleaners. Jasamu sentiasa dikenang. Banyak kenangan kita bersama di sini," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 2:49 PM