LAUDYA Cynthia Bella. FOTO arkib NSTP
LAUDYA Cynthia Bella. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri


"BELLA sekarang dalam keadaan baik," kata pembantu pengurus pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, Syahnaz Sofinar kepada Harian Metro.

Syahnaz ketika dihubungi turut memohon semua peminat menitipkan doa yang terbaik buat Laudya yang mesra disapa Bella itu.

Sebelum itu, Bella, 32, mengesahkan dia sudah bercerai dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 45, hari ini sekali gus menjawab teka-teki mengenai status perkahwinan mereka.

Dalam satu kiriman video secara eksklusif kepada Harian Metro, Bella berkata, dia memerlukan sokongan semua pihak dan mendoakan dirinya kuat melalui ujian itu.

"Saya mohon maaf kalau ada kata-kata atau sikap saya yang kurang menyenangkan. Saya perlukan sokongan dari teman-teman semua dan mohon doakan saya," katanya.

Sofinar berkata, video yang dikirimkan itu diharap dapat menjelaskan segala spekulasi yang timbul berhubung rumah tangga pasangan itu sejak beberapa minggu lalu.

"Semoga kiriman video ini dapat menjawab pertanyaan teman-teman media dan dipergunakan dengan sebaiknya. Terima kasih atas perhatian dan sokongan," katanya.

Dalam video berdurasi kira-kira dua minit itu, Bella berkata, keputusan perceraian itu dibuat secara sepakat di antara kedua-dua pihak dan ia dilakukan dengan cara yang baik.

"Berhubung berita teka-teki mengenai rumah tangga kami, saya ingin menjelaskan bahawa kami berdua sudah sama-sama sepakat untuk berpisah secara baik.

"Sudah pelbagai usaha kami lakukan yang kami lakukan dan ini adalah takdir Allah SWT. Rumah tangga kami hanya sampai di sini. Segala proses kami juga lalui dan saat ini semuanya sudah selesai.

"Dua tahun beliau menjadi suami saya, banyak sekali kebaikan, hikmah dan pembelajaran yang saya peroleh. Insya-Allah semua itu saya jadikan bekalan, boleh saya simpan untuk menjadi wanita yang jauh lebih baik lagi," katanya.

Kisah pergolakan rumah tangga pelakon filem Syurga Yang Tak Dirindukan itu mula menarik perhatian umum selepas mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama sejak tahun lalu.

Malah, tindakan Bella yang mahu menjual salah satu rumah banglo miliknya di Jakarta Selatan menguatkan lagi spekulasi itu.

Selain itu, Bella dan Engku Emran juga sudah tidak saling mengikuti di Instagram masing-masing.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan di Kuala Lumpur pada 8 September 2017.

Pasangan ini juga tidak dikurniakan anak.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Engku Emran bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila mesej WhatsApp tidak dibalas.

Perkahwinan dengan Bella adalah yang kedua buat Engku Emran yang sebelum itu berkahwin dengan pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira pada Oktober 2007 dan memperoleh anak perempuan, Engku Aleesya, 11.

Bagaimanapun, mereka bercerai pada 17 Februari 2014.

Berita berkaitan:

  • Laudya Cynthia Bella, Engku Emran bercerai
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 6:35 PM