Kuala Lumpur: Bekas isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin iaitu Noor Nabila memuat naik hantaran di Instagram Story meluahkan isi hati mengenai takdir jodohnya selepas bercerai dengan suami.

Dalam hantaran itu, Nabila menerima segala takdir dan rancangan terbaik daripada Allah untuk dirinya. 

"Kalau ia bukan ditakdirkan untuk kamu, tak kiralah berapa lama kamu mencuba, atau bagaimana gigih pun usaha kamu, ia takkan menjadi milik kamu. 

"Kerana kita hanya merancang, tapi, rencana yang terbaik adalah di tangan Dia. 

"Semoga Dia membimbing saya, menyembuhkan saya dan isi hati saya dengan ketenangan," tulisnya. 

Hantaran itu berupa gambar kenangannya bersama Emran ketika saat bahagia mereka. 

Semalam, pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, jam 12.51 tengah hari. 

Terdahulu, Nabila memaklumkan dia dan Emran bakal bercerai dalam waktu terdekat selepas Emran menyatakan hasratnya untuk tidak meneruskan rumah tangga yang dibina sejak 2021.

Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021. Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.

Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 12:47 PM