CALIPH Buskers punyai keinginan besar mahu dapat peluang seperti pemuzik normal lain.
CALIPH Buskers punyai keinginan besar mahu dapat peluang seperti pemuzik normal lain.
Norhayati Nordin

ENAM tahun aktif dalam kerjaya seni sejak 2014, kumpulan Caliph Buskers ternyata begitu dikenali dalam kalangan penggiat dan peminat muzik tanah air.

Meskipun semua anggotanya adalah pemuzik orang kurang upaya (OKU), namun hingga kini setiap lagu nyanyian Caliph Buskers begitu dikenali serta diminati ramai.

Dianggotai Azmi Saat selaku vokalis serta pemain keyboard, Zaki Ismail (bass), Nirwan Zainalabidin (gitar), Fendy Adlun (dram) dan Nadira Rubiana (shaker) yang pasti kumpulan ini masih kekal bersama.

Menurut Azmi, biarpun dia sering dilihat tampil membuat persembahan secara solo, tetapi itu tidak bermakna Caliph Buskers sudah ditinggalkan.

"Saya tidak pernah terfikir nak angkat kaki meninggalkan Caliph Buskers begitu sahaja. Hingga kini, saya setia untuk terus berjuang bermain muzik bersama rakan lain dalam kumpulan ini.

"Kami sudah lama bersahabat. Malah, susah senang bersama umpama satu keluarga. Saya pun sudah lali, sering didakwa sudah bergerak solo. Pada hal, saya tetap bersama Caliph Buskers.

"Cuma, selalunya saya perlu menghormati penganjur yang mahu saya tampil membuat persembahan solo tanpa kumpulan dan perkara berkenaan diketahui anggota lain.

"Saya pun tidak pernah menyembunyikan sebarang tawaran persembahan diterima daripada pengetahuan rakan dalam kumpulan. Boleh dikata, semua aktiviti persembahan saya diketahui mereka," katanya.

Menurut Azmi, pembabitannya secara solo dalam persembahan mendapat izin rakan Caliph Buskers yang lain.

Katanya, mereka memahami dan sentiasa saling menyokong.

Berbicara juga perkembangan kerjaya seni Caliph Buskers, Azmi berkata, mereka perlu mengatur perancangan baharu selepas agak lama 'berehat seketika' kerana penularan pandemik Covid-19 dalam negara.

Apapun, pada awal Januari lalu Caliph Buskers muncul dengan lagu baharu berjudul Manusia yang dirakam sekitar hujung tahun lalu.

Malah, lagu Manusia mendapat penerimaan baik dalam kalangan pendengar hingga kini.

Menurut Azmi, Caliph Buskers tetap mempunyai keinginan besar iaitu mahu mendapat peluang seperti pemuzik normal lain dengan muncul dua atau tiga lagu dalam setahun.

"Setakat ini, Caliph Buskers hanya dapat rakam satu lagu dalam setahun. Pada kami, peluang rakam lebih daripada satu lagu penting untuk membantu perjalanan kerjaya muzik dan nyanyian Caliph Buskers kekal bertahan.

"Apabila hanya muncul dengan satu lagu, kami seperti agak ketinggalan. Sebagai pemuzik sepenuh masa, sudah pasti kami mahu tampil lebih daripada satu lagu dalam setahun," katanya.

Setakat ini, Caliph Buskers menghasilkan lima lagu secara berkumpulan seperti Hanya Padamu pada 2015, Kaulah Dia (2016), Buta (duet Faizal Tahir - 2017), Hanya Mimpi (2018) dan Manusia (2019).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 6:31 AM