Kumpulan Caliph Buskers. FOTO ROHANIS SHUKRI
Kumpulan Caliph Buskers. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin

 

KUMPULAN Caliph Buskers berharap diberi lebih peluang merakam dan muncul dengan beberapa lagu dalam setahun.

Penyanyi dan pemain keyboardnya, Azmi Saat berkata, selama Caliph Buskers aktif dalam kerjaya muzik di arus perdana sejak 2014, mereka hanya dapat merakam dan muncul dengan satu lagu saja setahun.

"Walaupun kami dalam golongan pemuzik orang kelainan upaya (OKU), tetapi keinginan di hati sangat besar. Kami juga mahu peluang seperti  pemuzik lain yang dapat muncul dengan dua atau tiga lagu dalam setahun.

"Ia penting untuk membantu perjalanan kerjaya muzik dan nyanyian Caliph Buskers terus kekal bertahan. Apabila hanya muncul dengan satu lagu sahaja, kami seperti agak ketinggalan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah genre muzik diperjuangkan Caliph Buskers sukar mencari lagu sesuai, Azmi menafikan perkara itu dah ia tak ada langsung membabitkan genre lagu.

"Kami pun tak tau sebab sebenarnya. Sebagai pemuzik sepenuh masa sudah pasti Caliph Buskers ingin tampil lebih daripada satu lagu dalam setahun.

"Apatah lagi, punca utama pendapatan anggita Caliph Buskers pada kerjaya seni. Jadi, tampil dengan beberapa lagu dalam setahun  sangat membantu," katanya.

Azmi berkata, dia melihat positif untuk impian Caliph Buskers merakamkan beberapa lagu dalam setahun menjadi kenyataan.

Katanya, dia juga ada menghasilkan koleksi lagu sendiri untuk diperjuangkan bersama Caliph Buskers.

Setakat ini, Caliph Buskers sudah menghasilkan lima lagu secara berkumpulan seperti Hanya Padamu pada 2015, Kaulah Dia (2016), Buta (duet Faizal Tahir - 2017) , Hanya Mimpi (2018) dan Manusia (2019).

Memandangkan lagu Manusia baru dirakam hujung tahun lalu dan dilancar pada Januari 2020, maka penerimaan lagu berkenaan dalam kalangan pendengar muzik masih lagi baik dan mendapat sambutan.

Selain Azmi, Caliph Buskers dianggotai Zaki Ismail (bass), Nirwan Zainalabidin (gitar), Fendy Adlun (dram) dan Nadira Rubiana (shaker).

Caliph Buskers pernah memenangi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-29 menerusi lagu Romancinta nyanyian asal kumpulan Mojo. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 9:16 AM