AZMI kini beri fokus pada penciptaan lagu.
AZMI kini beri fokus pada penciptaan lagu.
Norhayati Nordin


HAMPIR dua tahun kita bergelut dengan situasi pandemik Covid-19 ini, aktiviti hiburan terutama persembahan nyanyian secara terbuka sudah lama dihentikan untuk mengelakkan penonton berkumpul.

Tak dinafikan, kebanyakan penyanyi yang bergantung sumber pendapatan pada aktiviti nyanyian sepenuhnya berhadapan saat sukar dan perlu ada alternatif lain untuk terus menjana pendapatan demi kelangsungan hidup.

Berbicara mengenai pendapatan terjejas ini, ia turut diakui vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat. Menurut Azmi, dia juga sudah merindui suasana membuat persembahan nyanyian.

"Seperti dihadapi orang lain, saya pun terjejas pendapatan. Tapi, tidak terlalu teruk kerana sebelum itu, saya dengan kumpulan Heart yang dianggotai bersama Danial Zaini dan Ezad Lazim muncul juara Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS 2) pada April lalu.

"Jadi, dengan wang kemenangan diraih itu saya gunakannya sebaik mungkin. Saya lebih utamakan simpanan berbanding berbelanja membeli barangan yang tidak perlu. Dalam keadaan sekarang, saya kena bijak mengurus wang.

"Ditambah, saya pula kurang aktif membuat persembahan di media sosial. Ini kerana, satu kesukaran untuk saya 'set up'

kamera berikutan tidak mempunyai kelengkapan yang cukup,"

katanya.

Menurut lelaki cacat penglihatan berusia 34 tahun ini, kekangan dihadapinya bagaimanapun mendorong dia lebih memberi fokus pada aktiviti penciptaan lagu. Katanya, setakat ini ada beberapa lagu sudah disiapkan.

"Syukur alhamdulillah, rezeki saya nampaknya pada ilham mencipta lagu. Bagi saya, ia satu terapi dalam mengisi banyak kelapangan masa yang saya ada berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

UTAMAKAN simpanan, Azmi akui dia kena bijak urus kewangan.
UTAMAKAN simpanan, Azmi akui dia kena bijak urus kewangan.

"Kes jangkitan harian Covid-19 pun masih meningkat, jadi saya memang kurang keluar rumah. Walaupun saya sudah mendapat dua dos lengkap suntikan vaksin Covid-19, tapi ia bukan satu

'tiket' untuk saya boleh terhindar daripada dijangkiti.

"Jadi, pada masa sekarang saya sangat berhati-hati. Bagi saya, lebih baik berusaha mencegahnya dulu daripada melayan rasa geram di hati kerana sudah lama berkurung di rumah serta tak boleh bekerja," katanya.

Mengulas juga kerjaya nyanyiannya, Azmi berkata, dia masih bergerak secara solo dan berkumpulan. Katanya, selagi termampu dan masih ada rezeki, dia akan menyanyi dan menghiburkan penonton.

"Saya ada muncul dengan single solo berjudul Tulus pada Disember tahun lalu dan diikuti single Beriku Waktu pada Ramadan lalu. Selain itu, saya juga muncul dengan single Panah bersama Caliph Buskers.

"Menariknya lagi, single Panah ini adalah karya ciptaan anggota Caliph Buskers, Fendy Adlun. Bagaimanapun, disebabkan pandemik ini kami tidak berpeluang membuat aktiviti promosi dan publisiti untuk lagu," katanya.

Sehubungan itu, Azmi yang tahu dan prihatin terhadap masalah kewangan dihadapi Fendy sebelum ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu sahabatnya itu termasuk Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:30 AM