HANI lima tahun bertugas sebagai penyampai radio ERA. FOTO NSTP
HANI lima tahun bertugas sebagai penyampai radio ERA. FOTO NSTP
Georgie Joseph


PENGACARA dan penyampai radio ERA, Hani Fadzil mengumumkan untuk tidak menyambung kontrak dan menamatkan khidmat bersama stesen berkenaan selepas lima tahun bertugas di sana.

Hani atau nama penuhnya Intan Farhani Mohd Fadzil, 28, mengakui keputusan itu berat untuk dibuatnya namun perlu berundur disebabkan dia berazam mahu melebarkan sayapnya terhadap peluang lain di luar.

“Sejujurnya, saya sangat senang dan sayangkan karier penyampai di stesen ini. Begitu juga semua kakitangan di sini, saya sayang mereka semua dan tiada masalah pun bekerja dengan mereka.

“Bagaimanapun, saya masih ada impian di luar sana yang betul-betul ingin direalisasikan. Yang pasti, saya bukan menamatkan khidmat disebabkan mendapat tawaran lain.

“Saya mahu melebarkan sayap dan meneroka lebih jauh dalam industri hiburan. Saya harap, semua masih akan menyokong kuat karier selepas ini di luar,” katanya yang bakal tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Menurut Hani yang cukup popular menerusi segmen K-Pop dikendalikannya berjudul Hallyu Era, dia juga mengintai peluang untuk mengacarakan program dari Korea Selatan pada masa akan datang.

“Sekarang saya dalam proses untuk mendalami bahasa Korea dan mempelajarinya sehingga fasih. Saya turut mencari peluang mendapat biasiswa untuk menyambung pengajian di Korea.

“Saya berharap usaha ini akan dapat mengembangkan bakat untuk mengacarakan program dari negara itu kelak,” katanya.

Hani memulakan kerjaya penyampai radio bersama stesen terbabit pada sekitar 2014 selepas dinobatkan juara Penyampai Top Malaysia ERA bersama Radin. Dia juga dikenali menerusi program Majlis di saluran Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 11:40 PM