Fizo Omar
Fizo Omar
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Fizo Omar membantu masyarakat yang terjejas sumber kewangan untuk menjana pendapatan sampingan dari dapur rumah masing-masing.

Inisiatif itu diambil oleh Fizo, 35, sebagai tanggungjawabnya dalam membantu masyarakat memandangkan dia sendiri memiliki pengalaman dalam perniagaan selama lebih 10 tahun.

"Saya buat program ini secara percuma di Facebook Rezeki Dapur. Di situ, saya bantu mereka yang ingin mencari pendapatan sampingan dengan memberikan tip, nasihat, idea serta bantuan bagaimana untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dari dapur.

"Saya juga mengajar mereka untuk menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah dan jadikan produk yang boleh dijual sekaligus menjana pendapatan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Rezeki Dapur bukanlah merujuk kepada perniagaan makanan semata-mata. Ia terarah untuk percubaan perniagaan lain juga.

"Rezeki Dapur maksud saya adalah bekerja dari rumah. Ramai yang tak tahu bagaimana nak mulakan perniagaan kecil-kecilan walaupun hanya berada di dapur rumah masing-masing.

"Jadi, secara dalam talian (online), saya ajar mereka yang menyertai Facebook ini cara-cara bagaimana untuk mengatur strategi perniagaan termasuk memasarkan perniagaan mereka," katanya.

Setakat ini, Facebook yang konsepnya adalah sebagai kumpulan tertutup (closed group) ini sudah disertai lebih 3,000 ahli sejak dibuka sekitar tiga minggu lalu.

"Satu pencapaian membanggakan apabila Facebook ini sudah disertai lebih 3,000 ahli dalam masa yang singkat. Lebih membuat saya gembira apabila ramai ahli berkongsi bahawa mereka sudah mula mendapat hasil dan menjana pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 6:49 PM