SITI Nurizzah ‘Atirah menghantar tempahan kek keju kepada pelanggan. FOTO Ihsan Siti Nurizzah ‘Atirah Zamri
SITI Nurizzah ‘Atirah menghantar tempahan kek keju kepada pelanggan. FOTO Ihsan Siti Nurizzah ‘Atirah Zamri
Hajar Umira Md Zaki dan Mohamad Fais Jusoh


Kuala Lumpur: Penularan pandemik Covid-19 di negara ini membuka haluan baharu buat graduan untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan dalam talian berikutan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

Graduan Kolej Komuniti Kuala Langat, Siti Nurizzah 'Atirah Zamri, 21, berkata dia kini berniaga kek secara kecil-kecilan selepas tamat pengajian Sijil Pelancongan dan Pengembaraan, tahun lalu.

"Banyak syarikat pelancongan tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dikuat kuasa pada Mac lalu, dan kalau beroperasi pun tidak banyak peluang pekerjaan untuk kami.

"Mencabar juga apabila kadang kala jualan kek tidak pulang modal dan saya terpaksa membuat jualan beli satu percuma satu. Namun, Alhamdulillah... permintaan sentiasa ada walaupun tidak banyak," katanya kepada Harian Metro.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam), Ahmad Fathi Yusof, 25, berkata dia menjalankan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan selepas tamat pengajian bagi menyara kehidupan.

"Enam bulan pertama lepas tamat belajar memang tidak buat apa-apa dan sepatutnya mula bekerja di Kuala Lumpur kira-kira seminggu sebelum PKP dikuat kuasakan, tetapi nampaknya belum ada rezeki iti.

"Sejak awal Julai lalu saya mula buat perniagaan bakeri secara kecil-kecilan sehingga sekarang sebagai pekerjaan sampingan sementara menunggu peluang pekerjaan," katanya.

Sementara graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Noraini Sariyon, 23, turut memanfaatkan masa terluang dengan membuka perniagaan dalam talian.

Menurutnya, sukar untuk mencari pekerjaan kini berikutan pandemik yang melanda negara sejak awal tahun ini serta persaingan antara graduan dan pekerja lebih berpengalaman.

"Justeru, saya rasa pihak kerajaan perlu mencari atau merangka inisiatif lain bagi mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 7:48 PM