QODY yakin rezeki ada di mana-mana.
QODY yakin rezeki ada di mana-mana.
Syafil Syazwan Jefri


SELESAI dengan program Big Stage pada Oktober tahun lalu, karier seni penyanyi kelahiran Langkawi, Qody Rany nampak mula menyinar kembali.

Namanya mula meniti di bibir peminat. Malah, lagunya mula menjadi siulan ramai dan mula dimainkan di beberapa stesen radio tempatan.

Namun, perjalanan tempoh gemilang itu hanya mampu bertahan beberapa ketika sebelum gelombang Covid-19 kembali mengganas sekali gus mengehadkan pelbagai aktiviti seninya.

"Selepas selesai dengan Big Stage, banyak agenda kerjaya yang diatur dan pada ketika itu, saya bersemangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi dalam menempatkan nama saya sebagai penyanyi.

"Namun, tak lama selepas itu, jumlah kes positif Covid-19 makin meningkat. Setiap hari, jumlah kes baharu semakin menakutkan sekali gus memaksa pihak berkuasa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula.

"Saya akui, banyak aktiviti seni terjejas dan terbantut. Namun, saya sentiasa ingatkan diri saya bahawa rezeki Allah itu ada di mana-mana. Bukan saya saja yang terkesan," katanya.

Menurutnya, jika dilihat semula, kerjayanya dalam tempoh ini lebih membuahkan hasil dalam bidang lakonan berbanding nyanyian.

QODY akan mulakan perniagaan kecil-kecilan.
QODY akan mulakan perniagaan kecil-kecilan.

"PKP memang membuatkan saya sangat terkesan kerana kita semua baharu saja nak merangkak semula untuk menjana pendapatan.

"Ada beberapa acara persembahan yang sudah diterima namun terpaksa ditunda. Namun, saya

bersyukur kerana kerja-kerja lakonan masih menjadi rezeki saya.

"Sedikit sebanyak, dapat juga ia menjana pendapatan untuk saya selesaikan beberapa komitmen," katanya.

Namun, sekiranya diminta memilih, dia tetap akan menjadikan muzik dan nyanyian sebagai keutamaan.

"Muzik dan nyanyian adalah cinta pertama saya. Tapi, itu tak bererti saya tak minat berlakon.

"Saya pun nak kena belajar lebih mendalam lagi mengenai dunia lakonan. Mujurlah ramai kawan-kawan yang membantu mengajar saya antaranya Shiha Zikir, Anas Ridzuan dan ramai lagi. Satu hari nanti saya nak sangat sertai kelas lakonan," katanya.

Di saat berdepan kerugian, Qody lebih selesa untuk melihat hikmah di sebalik apa yang berlaku.

QODY lebih bersemangat.
QODY lebih bersemangat.

"Kerugian memang ada. Namun, hikmah daripada kejadian ini adalah ia mengajar kita semua erti bersyukur. Walaupun rezeki tidak sehebat seperti sebelum ini, tapi saya bersyukur kerana masih dapat bertahan.

"Apabila saya rasa dalam kesusahan, saya tahu lebih ramai orang yang hidupnya lebih susah. Saya percaya, Allah meletakkan rezeki untuk setiap hamba-Nya dalam pelbagai bentuk dan cara," katanya.

Menurutnya, dia ada menerima beberapa kiriman mesej daripada individu tidak dikenali yang meminta bantuan sumbangan.

"Rata-ratanya meminta bantuan. Namun, alasan yang diberikan ada antaranya yang tidak masuk akal. Saya sendiri berbelah bahagi sama ada saya perlu bantu atau tidak kerana kawan-kawan saya pun ada menerima mesej sama dengan ayat yang sama.

"Takut juga kalau ini adalah modus operandi yang digunakan untuk memperdaya orang lain. Tapi, kalau niat nak bersedekah silakan. Kalau mereka menipu, itu antara mereka dengan Allah," katanya.

Selain karier seni, Qody sama seperti artis lain ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan sebagai sesuatu yang mampu menjamin masa depannya.

"Insya-Allah saya akan memulakan perniagaan makanan tradisional. Tapi, semuanya masih lagi dalam perancangan dan perbincangan," katanya.

Terbaharu, Qody masih lagi giat mempromosikan single terbaharunya, Egois.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:20 AM