AWEERA menantikan berita gembira untuk pemuzik.
AWEERA menantikan berita gembira untuk pemuzik.
Syafil Syazwan Jefri


KEKANGAN jarak dan peralatan menjadi penghalang buat penyanyi, Aweera untuk menyelesaikan tiga single baharu yang sehingga kini masih tertangguh.

Aweera yang kini masih berada di kampung halamannya di Kangar, Perlis mengakui penularan Covid-19 ini benar-benar mengganggu perjalanan kerjaya nyanyiannya.

"Saya pun dah tak tahu nak buat apa. Kalau diikutkan perancangan asal, ada tiga single yang sepatutnya saya rakamkan. Namun, disebabkan saya tak boleh nak merentas negeri buat masa sekarang, semuanya terpaksa ditangguhkan.

"Di rumah saya di sini, tak ada peralatan lengkap untuk saya rakamkan lagu atau buat studio mini. Jadi, saya menantikan khabar gembira daripada pihak kerajaan," katanya.

Bagi mengisi masanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Aweera memulakan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian.

"Alhamdulillah, kehidupan di kampung sedikit sebanyak membuatkan saya banyak berjimat. Kalau di Kuala Lumpur, kos sara hidupnya lebih tinggi.

"Di sini, saya ada mulakan perniagaan secara dalam talian. Ada juga saya buat ulasan produk berbayar di Instagram untuk menjana pendapatan tambahan," katanya.

Sentiasa melihat situasi secara positif, Aweera yakin setiap perancangan yang diatur Tuhan itu adalah yang terbaik.

"Semuanya ada hikmah. Walaupun kes jangkitan baharu masih tinggi dan kita pun tak tahu sampai bila semua ini akan selesai, kita hanya mampu berdoa agar virus ini dapat dihapuskan secepat mungkin," katanya.

Aweera sepatutnya melancarkan single baharunya pada Januari lalu namun ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 6:45 AM