AB Halim merasmikan penutupan sambutan Hari Radio Sedunia anjuran KUIS.
AB Halim merasmikan penutupan sambutan Hari Radio Sedunia anjuran KUIS.
Sudirman Mohd Tahir


SAMBUTAN Hari Radio Sedunia pada 13 Februari lalu turut diraikan Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Program yang dianjurkan itu adalah projek akhir bagi kurus Penerbitan Radio membabitkan mahasiswa Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah Dengan Komunikasi.

Menariknya, sebagai tanda sokongan konti radio KUISfm bersiaran 10 jam tanpa henti bermula seawal jam 6 pagi sehingga 5 petang.

Selain menampilkan tetamu jemputan yang terdiri daripada pensyarah KUIS, program itu turut mengundang beberapa selebriti radio tempatan antaranya DJ Odey Petra (Nasional FM), DJ Nazrie Fahmie (KL FM), Asyraf Zuhairie (Selangor FM), Raja Sofie (Pengacara TV Alhijrah) dan Hafiz Aziz (Suria FM).

Bagi DJ Odey Petra atau nama sebenarnya Rosdi Omang, program seumpama itu wajar diteruskan, sekali gus memberi pendedahan kepada pelajar terhadap bidang penyiaran radio sebenar.

“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya menjadi tetamu bagi menjayakan satu daripada segmen yang ada. Walaupun ia konti di IPT, tapi ‘feel’ yang dibawa sama macam konti di stesen radio.

“Pendedahan diberikan kepada pelajar terbabit dalam mengendalikan konti dan keseluruhan penerbitan wajar diberi pujian. Bagi saya ini proses pembelajaran awal untuk mereka sebelum melangkah ke dunia penyiaran sebenar.

“Lebih penting, saya puji penganjuran program ini kerana turut sama meraikan sambutan Hari Radio Sedunia. Ini bermakna, penerbitan radio itu bukan saja sebagai satu subjek pembelajaran, tapi melekat di hati mereka,” katanya.

Sementara itu, Rektor KUIS, Profesor Datuk Dr Ab Halim Tamuri menyifatkan radio masih mempunyai pengikut dan didengar sesiapa saja.

“Bagi saya radio memang kena ada. Saya dan anak-anak pun masih dengar radio. Malah, masyarakat kita juga masih dengar radio walau dalam apa juga platform terkini.

“Jadi, saya kalau boleh mahu KUIS ada stesen radio sendiri yang boleh bersiaran setiap hari dan turut didengar di seluruh kawasan Bandar Seri Putra.

“Bukan sekadar untuk tujuan pendidikan, tapi berkongsi pengetahuan juga. Sebab bagi saya radio sebahagian daripada kehidupan. Cuma, kena peka pada kandungan yang sesuai. Macam remaja, kena tengok apa kandungan diinginkan dan tidak hanya hiburan.

SELEPAS tamat bersiaran.
SELEPAS tamat bersiaran.

“Apapun, bagi saya radio masih penting untuk pendidikan kerana ada banyak isi kandungan yang penting untuk disampaikan kepada pendengar,” katanya.

Ab Halim juga tidak menolak sekiranya terdapat usul atau cadangan yang mahu penyiaran radio sedia ada diperluaskan waktu siaran.

“Saya akan pertimbangkan sekiranya ada usul untuk meluaskan penyiaran radio di KUIS ini dan bukan mengikut hari tertentu,” katanya.

Berkongi nostalgia mendengar radio, Ab Halim berkata, dia mula mendengar radio sejak usia kanak-kanak.

“Ketika masih kecil, radio antara saluran komunikasi yang ada. Muzik tak banyak dan TV pun hitam putih. Perlawanan bola sepak pun kena dengar di radio.

“Apabila masuk alam remaja, sudah ada segmen jiwang. Pada masa itu, rancangan popular tengah malam iaitu Memori jadi pilihan saya kerana ia perkongsian pengalaman orang bercinta.

“Diperdengarkan lagi dengan lagu ‘feeling’ menusuk kalbu memang buat hati terhibur. Ketika itu, tak ada lagi stesen radio komersial seperti sekarang.

“Itu hiburan yang ada pun. Ia menjadikan kita sebagai pendengar dekat dengan radio. Kalau di asrama, saya antara pelajar nakal yang bawa radio kecil.

“Namun, apabila sudah mencecah umur sekarang, ‘feel’ pun berbeza. Saya mula mendengar radio berkonsepkan Islamik. Kadangkala dengar juga Suria FM, Sinar FM dan lain-lain, tapi bukan macam dulu. Ia sekadar nak dengar,” katanya yang meminati karakter penyampaian Fara Fauzana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 6:46 AM