GABUNGAN dua generasi.
GABUNGAN dua generasi.
Ridzuan Abdul Rahman


TIADA istilah mengambil kesempatan, sebaliknya gandingan Kmy Kmo dan Luca Sickta bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Neraca adalah satu langkah bijak bagi kelangsungan industri seni nyanyian tanah air.

Apatah lagi, kedua-dua penyanyi generasi baharu itu mengakui mereka adalah peminat Jamal dan sudah menyimpan impian berduet dengannya sejak dibangku sekolah.

Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, lagu Neraca dihasilkan dengan merujuk kepada penyanyi berusia 62 tahun berkenaan.

"Dari awal pun kami memang sudah membayangkan beliau (Jamal) untuk berduet dengan kami menyanyikan lagu ini.

"Namun sebelum itu kami terpaksa melalui proses awal bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat ini.

"Perasaan berdebar memang ada, maklumlah beliau bukan calang-calang penyanyi. Tapi, perasaan itu bertukar gembira apabila kata setuju diberikannya untuk bekerjasama," katanya.

Lagu Neraca yang dilancarkan sejak 19 Februari lalu adalah karya duet ketiga mereka selepas lagu 7 Nasihat bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Zuhud bersama Datuk M Nasir.

Bercerita lanjut, Luca Sickta berkata, untuk mendapatkan 'feel', Kmy menyanyikan lagu ini mengikut gaya nyanyian Jamal ketika rakaman demo.

"Proses awalnya kami buat muzik lain. Apabila beliau kata setuju, kami terus tukar dan buat kelainan masukkan elemen ghazal.

"Pada kami muzik tradisional tak boleh dilupa atau dipinggirkan generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi terkini.

"Sekiranya peminat lama dengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini. Paling seronok, Jamal sangat profesional dan memberikan kerjasama sepanjang rakaman," katanya memberitahu lagu itu dihasilkan sejak 2018.

Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim pula berkata, mereka membuat keputusan menyimpan lagu Neraca selama dua tahun untuk menunggu masa sesuai dikeluarkan.

"Jalan kami ini dimudahkan apabila beliau menjalinkan kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada pertengahan tahun lalu.

"Malah, proses rakaman lagu dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Jamal juga ada bertanya kalau beliau boleh membuat perubahan pada nyanyiannya dan kami bersetuju.

"Pada kami Neraca adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud yang dilancarkan pada Disember 2019. Lagu ini merangkumi keseluruhan dan keseimbangan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang," katanya.

Sebagai penyanyi yang sudah lebih tiga dekad dalam industri, Jamal mengakui kerjasama mereka adalah satu pengalaman baharu buatnya.

"Kedua-dua anak muda ini sangat berbakat. Jadi proses rakaman cukup santai, mudah dan tidak terlalu sukar.

"Begitu juga ketika proses penggambaran video muziknya, ia mengandungi erti tersurat yang perlu dihayati dan mesej yang nak disampaikan agak kuat.

"Banyak mesej bagus dan ditampilkan dengan keunikan yang lain daripada lain. Lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan muzik videonya" kata bapa empat anak ini.

Jamal juga mengakui sekiranya lagu Neraca layak memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL), beliau tetap akan beraksi seperti ditunjukkan dengan Wany Hasrita menerusi lagu Belenggu Rindu dalam AJL 35 lalu.

Lagu Neraca boleh didengari di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music. Manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:40 AM