RAJA llya
RAJA llya
Rudy Imran Shamsudin


SEBELUM ini aktres Raja Ilya berkongsi mengenai impiannya untuk membintangi rangkaian filem superhero keluaran Marvel dan pernah menghadiri uji bakat.

Selepas berjaya menjalani uji bakat, Raja Ilya bagaimanapun terpaksa menolak tawaran itu berikutan ada babak bercium.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Estet itu mengakui berasa kecewa apabila terpaksa menolak tawaran dari Hollywood itu.

Bagaimanapun, rasa kecewa itu terubat apabila filem aksi sulung lakonannya, KL Vampires akhirnya ditayangkan selepas dua tahun menanti.

KL Vampires terbitan Cinemaya Studios Sdn Bhd akan mula ditayangkan di pawagam pada 14 November ini. Selain Ilya, filem itu turut dibintangi Josiah Hogan, Aeril Zafrel dan Reen Rahim. Ia juga menampilkan pelakon filem aksi terkenal dari Indonesia, Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman.

Ditemui di majlis prebiu filem KL Vampires, Ilya berkata, segala usaha dan penat lelah dicurahkan dalam karya arahan Devan R itu berbaloi. Tambahan pula ia menampilkan aksi dan fiksyen sepenuhnya.

“Apabila melihat sendiri filem ini saya berasa terharu. Terimbas kembali bagaimana susahnya kami untuk menjayakan babak aksi termasuk menjalani sesi latihan selama sebulan. Ia juga menjawab pertanyaan peminat bila KL Vampires akan ditayangkan,” katanya.

Jelas Ilya lagi, dia menerima tawaran untuk membintangi KL Vampires selepas membaca skrip dan jatuh cinta dengan jalan ceritanya.

“Sebelum ini saya memang teringin bekerja di bawah arahan Devan R dan hampir menjayakan sebuah projek tetapi ia tidak dapat dilaksanakan.

“Apabila ditawarkan sekali lagi, saya berasa peluang ini tidak patut dilepaskan kerana saya tahu ia menarik,” katanya.

Menurut Raja Ilya, apa yang membuatkan dia lebih teruja apabila produksi KL Vampires membawa jurureka aksi pertarungan daripada filem The Raid Redamption, Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman.

Sewaktu menghadiri majlis prebiu, Raja Ilya hadir bersama suaminya, Trent Garrett, warga Australia.

Ditanya mengenai pandangan Garrett mengenai lakonannya dalam KL Vampires, Raja Ilya berkata, belahan jiwanya itu menyukainya.

“Suami menyokong kerjaya seni saya malah dia berusaha mencari ejen yang bagus bagi membolehkan saya berlakon di tanah kelahirannya.

Kata Ilya lagi, dia sangat berpuas hati dengan hasil pembikinan KL Vampires, lebih-lebih lagi membabitkan babak jarak dekat.

“Bagi saya babak jarak dekat sangat penting kerana hanya kita beraksi di hadapan kamera. Ia juga menjadi penentu bagi menilai kemampuan pelakon terhadap penghayatan karakter ditampilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:00 AM