Raja Ilya disunting berpakaian adiwira Captain Marvel.
Raja Ilya disunting berpakaian adiwira Captain Marvel.
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Raja Ilya, 32, hanya mampu ketawa sebaik saja melihat foto suntingan seolah dia berpakaian watak adiwira Captain Marvel ditularkan netizen sejak semalam.

"Tak masuk akal! Saya pun tak tahu nak cakap apa, cuma harap mereka ambil kesempatan buat solat taubat sempena (Nisfu Syaaban) malam ini.

"Kalau kata saya tolak tawaran Marvel sebab kena tampil seksi, cuba tengok, seksi apa begitu?" katanya ketawa.

Ilya dihubungi Harian Metro, berasakan foto itu hanyalah usikan nakal netizen yang sengaja mahu mencipta kontroversi sendiri.

Apatah lagi, filem adiwira The Avengers Infinity War masih ditayangkan di pawagam tempatan.

Mac lalu, pelakon drama Syurga Tak Sempurna ini mengumumkan menolak tawaran berlakon di Hollywood untuk sebuah filem terbitan Marvel kerana ada babak kurang sesuai bercanggah dengan statusnya sebagai penganut Islam.

Bagaimanapun, pendedahan itu dianggap 'auta' oleh segelintir netizen yang menuduhnya sebagai menipu tawaran lakonan dalam filem francais mega itu di Amerika Syarikat.

Pada masa ini, Ilya sibuk menjalani sesi promosi filem seram terbaru berjudul Felina arahan Sandosh Kesavan.

Dia juga dalam usaha untuk mengembangkan francais kafe miliknya, Richiamo ke seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 6:04 PM