AYDA turut kongsi pandangan turun naik karier seseorang artis.
AYDA turut kongsi pandangan turun naik karier seseorang artis.
Syanty Octavia Amry


MESKIPUN sedar bidang lakonan tidak menjanjikan kemewahan, pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat tidak kisah. Baginya berlakon kerana minat dan bukan mengejar wang atau popular semata-mata.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 27, berkata sejak mula membabitkan diri dalam lakonan dia mengakui sudah mula meminati bidang berkenaan.

Ayda yang mula membabitkan diri dalam bidang seni sebagai penyanyi melihat lakonan tidak menjanjikan kemewahan, namun semakin lama dia menyedari lakonan sudah menjadi antara bidang yang dicintai.

“Saya sedar lakonan tidak memberikan kemewahan berbanding nyanyian, namun ia sudah sebati dalam diri dan berharap dapat terus berlakon selagi diberi peluang.

“Saya akui kebanjiran ramai artis baharu sekarang menyebabkan semakin banyak persaingan dan kerana itulah saya berusaha memberikan yang terbaik dalam lakonan.

“Apabila semakin lama berada dalam lakonan keutamaan saya lebih kepada memperbaiki mutu persembahan dan bukannya mengejar populariti semata-mata,” katanya.

Katanya, bercakap soal duit dia sudah merasainya selama menjadi penyanyi.

“Tidak saya nafikan menyanyi lebih memberikan banyak wang, tetapi lakonan semakin menjadi keutamaan.

“Selagi industri seni masih mahukan khidmat saya, saya akan melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda turut berkongsi pandangan mengenai turun naik karier lakonan seseorang artis.

AYDA Jebat.  FOTO: Nurul Shafina Jemenon
AYDA Jebat. FOTO: Nurul Shafina Jemenon

Baginya, mereka yang sudah lama berada dalam bidang ini perlu memberi laluan kepada pendatang baharu apatah lagi yang sedang mengecapi populariti.

“Mereka perlu akur dengan lumrah kehidupan dalam industri hiburan terutama tawaran dan bayaran lakonan yang sentiasa ada pasang dan surutnya.

“Zaman sudah berubah pelakon lama perlu menerima keadaan walau siapa pun yang berada di atas sekarang.

“Artis senior pastinya pernah merasai zaman popular dan mempunyai ramai peminat, jadi sekarang berilah peluang itu kepada pelakon baharu pula untuk meraih apa mereka pernah dapat,” katanya.

Ayda berkata, dia juga tidak terkecuali akan melalui perkara yang sama apabila satu hari nanti populariti akan merudum.

“Situasi ini juga boleh berlaku pada saya. Akan ada waktunya pendatang baharu muncul, saya pun tak boleh cakap apa-apa pada waktu itu malah perlu terbuka menerima keadaan yang berlaku,” katanya.

KORBAN RAMBUT DEMI WATAK

Jarang sekali pelakon wanita sanggup mengorbankan rambut yang juga mahkota berharga mereka.

Namun, tidak pada Ayda apabila demi menghayati wataknya dalam drama bersiri terbaharu lakonannya bertajuk Bukan Gadis Biasa, Ayda sanggup memotong pendek rambutnya.

Drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu menggandingkan Ayda bersama pelakon hebat, Remy Ishak.

“Tiada sesiapa memaksa untuk potong rambut pendek, saya lakukannya atas kerelaan sendiri dan bukan kerana menerima bayaran yang tinggi.

“Seperti dikatakan sebelum ini, berlakon sekarang adalah ‘passion’ dan sekurang-kurangnya saya mendapat kepuasan dengan apa yang dilakukan.

“Malah watak saya juga kali ini sangat berbeza berbanding yang pernah dilakonkan sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain Ayda turut terbabit menjayakan Stereo Fest yang bakal diadakan pada 22 dan 23 Februari depan di Palawan Green, Sentosa, Singapura.

Dia akan menghiburkan peminat di sana selama satu jam dan persembahan pada hari berkenaan akan disertai penyanyi lain seperti Judika, Jaz, Zee Avi, Ismail Izzani, Elizabeth Tan, Andi Bernadee dan penyatuan semula kumpulan 4U2C serta New Boyz.

Ayda juga bakal berlepas ke Makkah bersama keluarga dan rakan bagi mengerjakan umrah selepas berakhirnya Stereo Fest.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci Makkah, tetapi tidak kesampaian berikutan pelbagai halangan.

“Saya berharap pemergian kali ini akan dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:20 AM