NABILA harap pemilik kucing ada kesedaran dan ambil tanggungjawab sejak awal. FOTO Arkib NSTP
NABILA harap pemilik kucing ada kesedaran dan ambil tanggungjawab sejak awal. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


PELAKON Nabila Huda menyelar tindakan segelintir individu yang sengaja membuang kucing peliharaan selepas haiwan itu tidak lagi diperlukan.

Nabila berkata, mereka yang membela kucing perlu mempunyai kesedaran dan mengambil tanggungjawab sejak awal ketika membuat keputusan menjaga kucing itu.

"Ketika anda mengambil keputusan untuk menjaga kucing, binatang ini akan menjadi sebahagian daripada keluarga kita hingga akhir hayatnya.

"Anda tidak boleh membuang kucing. Tiada sebab anda membenci kucing, mengadu kencing merata, merosakkan sofa, semput atau apa sahaja alasan yang ingin diberikan.

"Anda seharusnya tahu kesan yang bakal timbul apabila membela kucing. Pilihan anda yang buat. Membela kucing bukan sebab dia comel atau manja tetapi ia adalah tanggungjawab untuk menjaganya seperti nyawa anda sendiri. Membela kucing bukan hobi, tapi tanggungjawab," luahnya di Instagram.

Menurutnya, dia berharap pelaku yang membuang kucing akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan buruk dilakukan.

Katanya, jika tidak larat menjaga haiwan peliharaan, mereka seharusnya mencari seseorang untuk membelanya.

"Perasaan tidak mahu membela haiwan peliharaan tidak boleh wujud dalam diri seseorang yang pernah membela kucing kerana anda sendiri yang memilihnya.

"Saya bersumpah kalau ada individu yang membuang kucing, biar kucing itu sengsara tak makan, kesunyian supaya kucing itu sedih.

"Saya berdoa supaya satu hari nanti pelaku yang membuang kucing, akan hilang orang paling dia sayang dalam hidup terutama ahli keluarga," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 2:27 PM