ANAK dan kakitangan yang sentiasa menjadi tulang belakang.
ANAK dan kakitangan yang sentiasa menjadi tulang belakang.
ANTARA menu yang disediakan di Good Meowning.
ANTARA menu yang disediakan di Good Meowning.
CENGKIH antara kucing yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.
CENGKIH antara kucing yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Jika berkunjung ke negara seperti Korea dan Jepun memang tidak hairan jika terjumpa banyak kafe kucing. Kafe kucing biasanya menempatkan kucing yang menjadi ‘penyambut’ tetamu.

Konsep kafe kucing dari Jepun dan Korea ini kemudiannya semakin diterima di negara lain termasuk Malaysia. Untuk menikmati suasana kafe berbeza, tentu kafe kucing boleh dijadikan pilihan untuk bersantai sambil menikmati menu ringkas disediakan.

Kafe kucing yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Good Meowning antara pilihan menarik buat si pencinta kucing di ibu kota. Dengan suasana yang menyenangkan, pengunjung dapat mendekatkan diri dan melihat kelincahan kucing milik pengusahanya, Nor Aziyah Mansor, 52.

Menariknya, kucing yang terdapat di kafe ini semuanya diberi nama Melayu klasik seperti Embun Kasturi, Bunga Cengkih, Pendekar Bujang, Pendekar Lanang, Badang, Melur, Dayang dan Ciku malah baka yang terdapat di kafe ini bukan saja berbulu panjang, malah kucing kampung turut menjadi antara ‘bintang’ yang dicari pelanggan.

Nor Aziyah berkata, kafe kucing itu mula dibuka pada awal Januari lalu dan penubuhannya bukan bersifat perniagaan semata-mata sebaliknya mahu berkongsi minat dengan masyarakat terutama yang mempunyai minat terhadap kucing sepertinya.

Katanya, sebelum ini dia mengusahakan butik di tempat sama selama sembilan tahun, namun dek minat terhadap haiwan itu, dia sanggup menukar butik itu kepada kafe kucing.

“Awal-awal membela kucing tiada niat pun nak buka kafe ini dan saya sendiri membela hampir 30 kucing di rumah. Ada kucing jalanan yang dikutip, ada dibeli dan ada kucing yang diberi oleh kawan.

“Namun, bila buka kafe ini, saya beli lagi dan tambah baka yang tiada kerana mungkin orang ramai yang datang hendak melihat pelbagai baka kucing,” katanya.

Nor Aziyah berkata, kafe itu bukanlah untuk perniagaan semata-mata, tapi sebab minat yang mendalam terhadap kucing serta mahu berkongsi mengenai penjagaan dan kesedaran terhadap kebajikan kucing.

Malah, dia mahu menyedarkan orang ramai bahawa kucing jalanan yang dikutip juga mampu menjadi cantik dan sihat dengan penjagaan yang betul. Buktinya, ada kucing jalanan dikutipnya kini antara yang sering mendapat tempat terbaik dalam mana-mana pertandingan kucing yang disertainya.

“Saya suka bawa kucing dalam pertandingan atau pertunjukan lebih-lebih lagi kucing yang diselamatkan sebab saya nak tunjuk bahawa kucing jalanan adalah cantik. Jika sihat dan gembira, kucing ini jadi cantik.

“Contohnya Cengkih, Lanang dan Lanun adalah antara kucing jalanan yang sering dibawa memasuki pertandingan dan mendapat tempat antara 10 terbaik. Sebenarnya saya tidak kisah kedudukan mereka, tapi saya nak tunjukkan bahawa semua orang boleh selamatkan kucing dan mampu membela kucing yang dikutip sehingga menjadi cantik,” katanya.

Sesi ‘tugas’ si comel

Konsep kafe seperti ini tidak asing bagi pencinta kucing dan kebanyakan kafe membiarkan kucing bersama pelanggan, namun kerana kesukaran menjaga, kafe itu meletakkan kucing dalam bilik khas supaya pelanggan yang datang boleh masuk dan bermain dengan kucing selepas atau sebelum makan.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, penumpuan pada kucing di kafe itu melebihi 50 peratus berbanding perniagaan kerana dia mengakui haiwan itu agak susah dijaga. Kucing itu bukan modal perniagaan sebaliknya mereka adalah ahli keluarga yang bekerjasama dengannya, itulah cara Nor Aziyah dan kakitangannya memandang dan melayan haiwan itu.

Sehingga kini, kafe itu menyediakan 17 menu makanan dan berhasrat untuk menambah maksimum 20 menu.

“Sebanyak 36 kucing di sini dengan setiap satu sesi bertugas tak lebih 21 ekor. Mereka ada jadual giliran misalnya Badang, kucing itu agak popular di sini dan pasti dicari orang ramai, jadi kita perlu ada hari cuti untuknya. Dia tak boleh ada di sini setiap hari, nanti dia tertekan dan ganggu jadual makannya.

“Kami tahu sifat setiap kucing di sini kerana masing-masing ada sifat tersendiri. Perubahan sikit pun kami boleh kesan seperti ketika mereka tertekan.

“Selain itu, saya terbabit dengan pusat perlindungan haiwan secara kecil-kecilan dan kami sokong pemandulan. Jadi, kalau ada pelawat, kami sering bagi nasihat mengenai penjagaan kucing. Jika pelawat tidak mampu menjaga kucing disebabkan banyak faktor seperti tiada masa, rumah kecil atau tidak dibenarkan membela haiwan peliharaan, mereka boleh bantu dari segi tajaan kepada rumah perlindungan, pemandulan, kos makanan atau rawatan.

“Ada rumah perlindungan yang fokus mengutip kucing jalanan yang sakit. Rawatan kucing sangat tinggi, jadi inilah yang kita perlu bantu. Pemandulan juga amat penting, kalau kita bagi makan saja dan tidak

mengawal populasi, bilangannya akan bertambah.

“Anjing dan kucing sekarang dalam keadaan populasi melampau kerana mereka tidak diselamatkan dan tiada tempat untuk dituju. Tidak semua orang suka kucing, ada beranggapan kalau hendak buang kucing, buang di pasar atau kedai makan tapi sebenarnya tempat itulah yang paling tidak selamat untuk mereka,” katanya.

Perlu ilmu untuk pelihara haiwan

Dia turut berharap dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat selain memberi kesedaran bahawa untuk menjaga kucing perlu ada ilmu, kena belajar sikit sebelum membela apa saja haiwan peliharaan.

Pemilik perlu tahu kemampuan menjaga haiwan itu, contohnya bila membela kucing, mereka sudah biasa dengan kehidupan diberi makan, dijaga kesihatan dan dimanja, maka kekuatan fizikalnya dengan kucing jalanan berbeza. Bahkan ketahanan kucing belaan terhadap penyakit juga berubah kerana sudah dimanjakan dan diberi makan yang mewah.

Namun, jika tiba-tiba pemilik tidak mahu membela dan membuangnya, haiwan itu tidak boleh bertahan di luar. Mereka juga takut dengan kenderaan yang lalu-lalang dan tidak tahu mengagak ketika melintas jalan.

Katanya, terdapat beberapa peraturan yang perlu diikuti pelanggan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan kucing di kafe itu. Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mesti ditemani ibu bapa atau penjaga selain perlu sanitasi (membersihkan) tangan terlebih dulu sebelum memasuki bilik kucing sebagai langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri orang yang datang memegang kucing lain seperti kucing di rumah atau jalanan yang memungkinkan penyakit dan virus dipindahkan ke kucing di kafe itu.

Bayaran dikenakan hanya RM5 setiap 30 minit dengan setiap sesi maksimum 15 orang. Jika datang dalam kumpulan besar, pelanggan perlu menunggu giliran untuk bermesra de­ngan ‘bintang’ di situ.

Antara baka kucing terdapat di kafe ini kucing kampung, campuran Siam, Bengal, Abyssinian, Oriental, British Short Hair, Scottish Straight dan Parsi.

Nor Aziyah berkata, suami, Abdul Rahim Muhamad Ali amat menyokong usaha yang dilakukannya walaupun tidak terbabit dalam pengurusan kafe, namun dia banyak memberi semangat dalam jatuh bangun perniagaannya.

Memiliki anak berusia antara 14 tahun hingga 25 tahun, Nor Aziyah berbangga apabila semua anaknya pencinta haiwan itu dan mereka tidak kekok membantu menguruskan kafe dan kucing.

“Salah seorang anak saya jadi pengurus di sini dan seorang lagi membantu ketika cuti semester. Anak keempat saya pula bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang veterinar kerana minatnya terhadap haiwan sejak kecil lagi,” katanya.

Kafe kucing Good Meowning boleh dikunjungi di no 1, Jalan Suasana 2/7a, Tun Hussein Onn, 43200 Cheras, Selangor atau sebarang maklumat boleh didapati menerusi Facebook Good Meowning Cafe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 1:11 PM