KUCING, arnab, burung, anjing dan hamster adalah antara haiwan yang sering menjadi pilihan untuk dipelihara. - FOTO Google
KUCING, arnab, burung, anjing dan hamster adalah antara haiwan yang sering menjadi pilihan untuk dipelihara. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HAIWAN peliharaan adalah haiwan domestik yang dijinakkan untuk dijadikan teman, perlindungan atau hiburan.

Menurut portal MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), haiwan yang sering dipelihara di negara ini ialah kucing, arnab, burung, anjing dan hamster.

Ada juga yang berani memelihara reptilia seperti jenis cicak atau ular sebagai haiwan peliharaan kesayangan mereka.

Namun, sedarkah anda bahawa memiliki haiwan peliharaan bermakna bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kebajikan haiwan berkenaan dan bukan hanya sekadar memeliharanya sahaja?

Sebagai pemilik, anda bertanggungjawab memastikan haiwan yang dibela sihat, kelihatan bersih dan kemas serta gembira.

Bagaimanapun, kesihatan dan kebajikan diri sendiri juga perlu diutamakan.

Oleh itu, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum anda mempertimbangkan untuk memiliki haiwan peliharaan.

Alergen adalah bahan yang boleh menyebabkan serangan asma tercetus.

Air liur, air kencing, najis, bulu serta dander (cebisan kulit yang terkeluar dari kulit anjing, kucing, tikus atau mana-mana haiwan yang berbulu) boleh mencetuskan serangan asma.

HAIWAN peliharaan tidak boleh diabaikan dan perlu diberi perhatian. - FOTO Google
HAIWAN peliharaan tidak boleh diabaikan dan perlu diberi perhatian. - FOTO Google

Bulu haiwan juga boleh memerangkap habuk, polen, kutu, kulat dan beberapa alergen lain.

Jika sensitif kepada haiwan berkenaan, anda mungkin akan merasa gatal hidung dan berair, bersin, mata jadi merah serta berair bila terdedah pada haiwan itu.

Jadi, dapatkan nasihat doktor jika anda sedang mempertimbangkan untuk memiliki haiwan peliharaan.

Dari segi kesesuaian jenis kediaman pula, sesetengah pengurusan perumahan tidak membenarkan penghuninya memelihara haiwan peliharaan.

Ini mungkin untuk menjaga kebersihan persekitaran dan mungkin juga untuk menghormati penghuni lain yang mungkin tidak suka atau alah pada haiwan peliharaan.

Ada baiknya jika anda mendapatkan dahulu maklumat mengenai peraturan di kawasan perumahan sebelum mendapatkan haiwan untuk dibela.

Selain itu, pertimbangkan juga mengenai sejauh mana anda dapat memenuhi komitmen terhadap haiwan berkenaan.

Perhatikan semula jadual harian anda dan fikirlah, adakah masih mempunyai masa yang cukup untuk membersihkan, memberi makan serta menjaga haiwan terbabit.

Menyentuh soal komitmen juga, memelihara haiwan juga memerlukan kos yang tinggi terutama kucing.

MAKANAN, kesihatan serta kebersihan haiwan peliharaan kadangkala membabitkan kos yang tinggi. - FOTO Google
MAKANAN, kesihatan serta kebersihan haiwan peliharaan kadangkala membabitkan kos yang tinggi. - FOTO Google

Ini kerana untuk memastikan makanan, kesihatan dan kebersihan haiwan peliharaan kadangkala membabitkan kos yang tinggi.

Adakah anda mampu? Jika tekad untuk memeliharanya, anda harus mula membuat perancangan kewangan sejak awal.

Apapun, dapatkan maklumat secukupnya sebelum membuat keputusan memelihara haiwan.

Ini kerana, haiwan peliharaan adalah benda hidup yang mempunyai keperluan sama seperti benda hidup lain.

Haiwan itu perlu diberi makan, dibersihkan dan paling penting, diberi perhatian.

Dapatkan maklumat daripada Internet atau kedai haiwan untuk haiwan yang anda minati.

Haiwan peliharaan mungkin memerlukan imunisasi berkala selain diberi ubat cacing.

Sesetengah kucing misalnya mungkin menjadi perumah kepada parasit toxoplasma yang boleh menyebabkan anda dijangkiti dengan penyakit toxoplasmosis jika terdedah kepada najisnya.

Justeru, dengan maklumat yang lengkap, anda akan lebih bersedia untuk memeliharanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:35 AM