SHIMA berpegang kepada prinsip tidak sesekali mendendangkan lagu mengandungi lirik kurang sopan. FOTO Mahzir Mat Isa
SHIMA berpegang kepada prinsip tidak sesekali mendendangkan lagu mengandungi lirik kurang sopan. FOTO Mahzir Mat Isa
Ardini Sophia Sina


PENYANYI yang mencipta nama di Indonesia, Baby Shima sanggup menolak tawaran bekerjasama dengan komposer Indonesia yang mencipta lagu fenomena Lagi Syantik iaitu Yogi RPH kerana enggan menyanyikan lagu berunsur lucah.

Shima ketika ditemui berkata, dia menolak tawaran itu kerana lagu yang diberikannya mengandungi lirik berunsur lucah seperti ‘ularnya besar sekali’.

“Saya tahu tidak semua lirik lagu dangdut itu ada unsur lucah tetapi sebelum saya terima, saya akan nilai dan fahami lirik lagu itu terlebih dulu. Apabila saya lihat ada ayat 'ularnya besar sekali', saya dapat rasakan ada maksud tersirat. Saya tanya penulis lirik itu, adakah ia mempunyai unsur lucah dan dia mengiyakan. Maka, saya tolak dengan cara baik dan minta untuk tukarkan dengan lagu lain. Alhamdulillah, dia faham," katanya.

Shima berkata, dia berpegang kepada prinsip tidak sesekali mendendangkan lagu mengandungi lirik kurang senonoh

walaupun perkara itu akan membuatkannya terlepas peluang bekerjasama dengan komposer hebat di sana.

Menurut Shima, lagu itu kemudian diberikan kepada salah seorang penyanyi naungan Nagaswara dan sudah dimuat naik di YouTube.

Menceritakan pengalamannya di sana, Shima berkata, dia juga pernah menolak tajaan pakaian daripada pereka fesyen kerana berasakan ia terlalu seksi.

"Di sana pakaian akan disediakan untuk penyanyi yang buat persembahan. Saya pernah dipaksa seorang pereka fesyen mengenakan pakaiandisediakan tetapi saya tolak kerana terlalu seksi.

"Dia berkecil hati dan bermasam muka dengan saya walaupun saya sudah minta maaf. Say beritahu memang dari kecil saya tak biasa sarungkan pakaian yang terlalu mendedahkan bahagian tubuh," katanya.

Walaupun menyanyikan lagu dangdut, Shima tetap dengan pendirian untuk tidak tampil seksi.

Dalam pada itu, Shima kini kembali ke tanah air buat seketika selepas situasi tidak menentu di Jakarta akibat tunjuk perasaan susulan bantahan kelompok tertentu terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) yang memihak kepada Joko Widodo (Jokowi).

“Saya akan berada di Malaysia hingga keadaan kembali tenang semula di Jakarta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:56 AM