Shima anggap bayaran diterima tidak setimpal untuk jayakan persembahan. FOTO MAHZIR MAT ISA
Shima anggap bayaran diterima tidak setimpal untuk jayakan persembahan. FOTO MAHZIR MAT ISA
Sudirman Mohd Tahir


"BAYARAN ditawarkan ada ketika tidak masuk akal. Namun, saya menolak secara baik," luah penyanyi Shima mengenai sikap segelintir penganjur persembahan.

Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 49, berkata dia tidak pernah merungut namun perkara itu boleh dipertimbangkan.

"Saya tidak boleh kongsi berapa yang mereka tawarkan. Bagi saya ia terlalu peribadi. Cuma, apa boleh dikatakan ia tidak masuk akal. Sepatunya penganjur perlu berikan bayaran setimpal.

"Perkara itu berlaku ketika saya belum buat kemunculan semula dan berlarutan hingga ke hari ini. Saya faham mereka tidak ada bajet. Tetapi, mereka juga perlu ambil kira keadaan penyanyi yang bergantung sepenuhnya kepada kerjaya ini.

"Sekiranya persembahan kecil tetapi mereka masih mahukan saya, ia boleh dipertimbangkan. Saya boleh lagi berkompromi," katanya kepada Harian Metro.

Shima yang popular dengan lagu Teringin berkata, dia tidak mempertikai layanan tidak sama rata di antara penyanyi lama dan baru.

"Itu hak mereka. Saya tidak boleh pertikai. Sebagai penyanyi yang hampir 30 tahun dalam industri, saya perlu bersikap profesional.

"Alhamdulillah, saya bersyukur pada masa sekarang tawaran menjayakan persembahan masih ada termasuklah majlis perkahwinan. Walaupun tidak muncul di kaca TV, saya masih diingati," katanya.

Shima juga berpesan sekiranya mana-mana pihak ingin menjemputnya menjayakan persembahan boleh menghubungi pengurus di talian 0176085282.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 2:01 PM