SARIMAH  belum membuat pemeriksaan untuk mengesan jantina bayi dalam kandungannya. FOTO Instagram Sarimah
SARIMAH belum membuat pemeriksaan untuk mengesan jantina bayi dalam kandungannya. FOTO Instagram Sarimah
Ramlah Zainal


“KAMI merancang untuk umumkan jantina bayi ketika istiadat melenggang perut di istana pada Mei nanti.

“Istiadat ini akan disempurnakan ibu mentua, Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Almarhum Tuanku Ja’afar,” kata pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim, 41, ketika ditanya jantina bayi dalam kandungannya itu.

Menurutnya, dia juga belum membuat pemeriksaan untuk mengesan jantina bayi dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah, usia kandungan saya kini hampir mencecah enam bulan dan doktor memberitahu bayi dalam kandungan juga sangat sihat.

“Saya belum buat pemeriksaan mengesan jantina bayi lagi kerana mahu berasakan debaran menanti berita gembira ini bersama keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai nama anak pula, katanya, dia dan suami sudah memilih senarai nama yang sesuai.

“Ia adalah senarai nama pilihan saya dan suami.

“Buat masa ini, kami akan merahsiakan senarai nama yang dipilih ini sehingga kelahiran anak nanti,” katanya.

Mengikut perancangan, Sarimah dijangka melahirkan anak sulungnya itu pada Julai nanti.

Terdahulu, Sarimah turut berkongsi gambar terbaru dengan kandungannya yang mencecah enam bulan itu di laman Instagram miliknya.

Sarimah berkahwin dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, pada 2 April 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:26 PM