AZHARINA
AZHARINA
Sudirman Mohd Tahir


BERBAKI tiga bulan saja lagi Konsert Azharina Queen of Soul yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun ini dan tiket sudah terjual 750 daripada 900 tempat yang ditawarkan di Royale Theatre Shah Alam.

Ia sekali gus membuatkan Azharina, 34, mampu tersenyum lebar kerana apa yang diimpikan selama ini bakal menjadi kenyataan.

Bagi Azharina itu adalah kejayaan awal bagi konsert terbabit dan berdoa semoga segala yang dirancang berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan sangat gembira apabila pihak penganjur memaklumkan tiket hampir habis. Dalam tempoh tiga bulan lagi, saya berdoa tiket habis terjual.

“Persiapan pula boleh dikatakan setiap minggu saya menjalani latihan. Pemilihan lagu juga sudah 60 peratus. Selain lagu sendiri, kebanyakan lagu yang dipersembahkan nanti tidak pernah saya nyanyikan dalam mana-mana acara.

“Diakui pemilihan lagu antarabangsa lebih mudah berbanding mencari lagu tempatan. Disebabkan itu, saya kena pilih yang sesuai dengan vokal. Insya-Allah, saya akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Azharina yang popular menerusi lagu Elegi Sepi berkongsi bakal menjalani latihan senaman secara intensif bagi meningkatkan stamina diri.

Selain itu, buat pertama kalinya juga Azharina akan mengikuti kelas vokal kendalian guru vokal terkenal.

AZHARINA sebak ketika mengaminkan doa pada majlis sambutan hari jadinya.
AZHARINA sebak ketika mengaminkan doa pada majlis sambutan hari jadinya.

“Memang betul stamina memainkan peranan penting. Saya tidak boleh fokus persembahan dan vokal saja. Tempoh lebih dua jam membuat persembahan sangat panjang ditambah usia bukannya muda lagi.

“Jadi, saya merancang membeli basikal gim dan letakkan di rumah bagi memudahkan saya membuat latihan. Selain itu, saya juga nak mengikuti kelas yoga,” katanya.

Ditanya mengenai penyanyi jemputan, Azharina berkata pihaknya masih dalam proses perbincangan.

“Penyanyi jemputan itu belum diputuskan. Namun, pemuzik iaitu gitaris terkenal dari Jepun sudah lama bersetuju.

“Bukan itu saja, pada malam konsert nanti saya akan menyampaikan single terbaharu hasil ciptaan Korie,” katanya.

Mahu beli rumah tepi laut

Tanggal 11 Mac lalu genap 34 tahun usia Azharina. Satu rahmat buatnya apabila pada usia ini dia melakukan penghijrahan dengan mengenakan hijab.

Bagi bekas juara Gegar Vaganza musim ketiga ini, apa yang penting sekarang adalah mencari ketenangan dan kekal istiqamah.

Azharina berkata, meski masih bergelar ibu tunggal, dia bersyukur apabila Allah SWT menggantikan ‘kekurangan’ itu dengan kebahagiaan lain iaitu dua anak angkat lelaki, Rahmat Azharin Aziz, 5, dan Redha Azharin Aziz, 2.


“Pada usia ini, saya sudah memiliki segala-galanya. Apa yang penting sekarang, saya inginkan lebih ketenangan rohani.

“Jujur cakap, tiada apa lagi yang saya mahukan pada usia ini. Walaupun tiada suami, Allah Maha Adil apabila menganugerahkan saya dua anak. Kehadiran mereka cukup bermakna buat saya. Merekalah permata hati dan penyeri hidup saya.

“Harta dunia seperti tas tangan dan kasut sudah banyak dan saya bersyukur. Cuma sekarang, saya mahu terus berdoa supaya ditetapkan hati agar istiqamah dengan penghijrahan ini,” katanya.

Ditanya sama ada memasang impian lain, Azharina berkata dia ingin memiliki rumah di tepi laut.

“Setiap orang pasti ada impian. Memandangkan yang lain sudah dicapai, saya mahu ada rumah tepi laut sama ada di Bali atau Australia.

“Kalau Allah berikan rezeki, insya-Allah. Tidak salah jika kita ada impian itu. Namun, apabila mahu kenalah berusaha dengan menggunakan duit sendiri. Anak saya pun sukakan laut,” katanya.


Mengulas lanjut penghijrahan, Azharina berkata dia mendapat maklum balas positif daripada semua pihak.

“Alhamdulillah, 100 peratus positif. Mungkin mereka melihat keikhlasan saya untuk berubah ke arah lebih baik.

“Namun, tidak dinafikan ada juga peminat cakap kenapa tak pakai tudung selepas konsert saja. Saya berdiam diri saja sebab tak tahu mahu beri reaksi yang macam mana. Saya yakin apa yang saya buat sekarang dan tidak akan berpaling lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 5:00 AM