AZHARINA berasakan hidupnya lengkap dengan keadiran 2 anak angkat.
AZHARINA berasakan hidupnya lengkap dengan keadiran 2 anak angkat.
Sudirman Mohd Tahir


MELAYARI hidup solo selama 11 tahun selepas bercerai bukan alasan untuk Azharina tidak mengecap kebahagiaan. Azharina, 34, atau nama sebenarnya Azharina Azhar mengakui hidupnya tidak pernah sunyi apatah lagi sejak kehadiran dua anak angkat lelaki, Rahmat Azharin, 5, dan Rizqie Azharin Azhar, 2.

Bagi Azharina, pengalaman berkahwin dan bercerai menjadikan dirinya lebih matang dan selesa untuk terus hidup solo.

“Ini tahun ke-11 saya bergelar janda. Jika ditanya mengenai soal pasangan, jujur dikatakan saya sudah tidak perlukan lelaki. Malah, sejak kehadiran dua anak lelaki, saya berasakan hidup sudah lengkap.

“Jadi, fokus saya lebih kepada mereka dan mencari rezeki. Anak sulung juga berkali-kali pesan supaya saya jangan kahwin.

“Kadang-kadang saya cuba untuk ke arah itu, tapi tidak mampu. Mungkin sebab sudah terlalu lama bersendirian, saya sudah biasa dan selesa hidup sendiri hingga berasakan tak perlu lagi ada lelaki sebagai pasangan hidup,” katanya.

CONCERT Azharina: Queen of Soul yang bakal diadakan Sabtu ini di Royale Theatre Shah Alam.
CONCERT Azharina: Queen of Soul yang bakal diadakan Sabtu ini di Royale Theatre Shah Alam.

Azharina yang popular menerusi lagu Elegi Sepi berkata, dia tidak mahu lagi menanggung sakit dan derita jika perkahwinan dibina tidak menemui jalan kebahagiaan.

“Saya pernah bercerai dan melalui ‘kesakitan’ itu. Bukan mudah sebenarnya. Jadi, disebabkan itu saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah dengan pengalaman lalu.

“Malah, bapa saya sentiasa berpesan carilah pasangan yang baik dan bertanggungjawab,” katanya.

Namun begitu, Azharina berkongsi dia dengan bekas suaminya masih berhubung dan baik sehingga sekarang.

“Walaupun sudah 10 tahun bercerai, hubungan kami masih baik. Dia selalu menghantar mesej dan bertanya khabar. Malah, masih panggil saya ‘darling’.

“Diakui, dia lelaki yang baik. Cuma, apabila berada pada tahap ini, bagi saya kami sesuai menjadi kawan baik saja. Malah, saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin semula dengannya. Cukup sekadar berkawan,” katanya.

Pada masa sama, Azharina yang juga juara program Gegar Vaganza musim ketiga mendedahkan turut menerima gangguan berupa kiriman mesej (DM) di Instagram yang ingin berkenalan dengannya.

Namun, Azharina mengambil pendekatan tidak melayannya kerana menganggap ia hanya gurauan daripada peminat.

“Ramai yang DM adalah lelaki muda. Cita rasa saya pula bukan ke arah situ, tapi lebih kepada lelaki berusia. Buat apa berkahwin jika akhirnya saya yang kena menyara suami? Jadi, lebih baik saya solo saja. Hidup pun lebih tenang tanpa perlu menanggung beban dan masalah lain.

“Bagaimanapun, saya anggap mesej mereka sekadar hiburan. Saya tidak mahu buang masa dan layan,” katanya.

AZHARINA bakal nyanyikan satu single ciptaan Korie pada konsert Sabtu depan.
AZHARINA bakal nyanyikan satu single ciptaan Korie pada konsert Sabtu depan.

Cipta sejarah Concert Azharina: Queen of Soul yang bakal diadakan Sabtu ini di Royale Theatre Shah Alam jam 8 malam mencipta sejarah apabila lebih 200 tiket terjual sebelum ia dibuka secara rasmi.

Terbaharu, Azharina melakar sejarah lagi apabila menjadi artis tempatan pertama dipilih mengadakan sidang media dan membuat persembahan dalam penerbangan AirAsia di atas ketinggian 38,000 kaki dari aras laut, baru-baru ini.

Sidang media Concert Azharina: Queen of Soul itu dibuat dalam penerbangan AK5106, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Ini impian yang saya simpan sejak empat tahun lalu. Ia juga pengalaman paling berharga dan bermakna buat saya sepanjang 20 tahun dalam industri.

“Tanpa sokongan daripada AirAsia dan kerja keras pihak penganjur iaitu Atlas One Events, perkara ini tidak dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Berkongsi konsert itu, Azharina berkata, dia sudah bersedia menghiburkan peminat dengan lebih 20 rangkain lagu popular.

AZHARINA bersama Korie menghiburkan penumpang pesawat AirAsia.
AZHARINA bersama Korie menghiburkan penumpang pesawat AirAsia.

“Alhamdulillah, persiapan sudah 70 peratus siap. Rabu ini saya akan mula berlatih dengan band yang pernah bersama saya sejak 15 tahun lalu.

“Saya juga bersyukur apabila tiket konsert berbaki kurang 100 tiket. Kapasiti tempat konsert pula boleh memuatkan 950 tempat duduk. Difaham­kan ada peminat saya dari London, Amsterdam, Switzerland, Filipina, Singapura dan Indonesia akan hadir.

“Walaupun nama tidak besar macam rakan lain, peminat nak beli tiket konsert saya. Mungkin peminat sudah lama menunggu persembahan berskala besar daripada saya,” katanya.

Menurut Azharina, pada konsert itu dia bakal me­nyanyikan satu single baharu hasil ciptaan pe­nyanyi, Korie Aminuddin.

Konsert berdurasi dua jam itu dibahagikan kepada empat segmen me­ngikut susunan lagu yang sudah dipilih.

“Insya-Allah, saya menjanjikan persembahan yang menghiburkan buat peminat yang hadir. Lagu yang bakal disampaikan tidak pernah saya nya­nyikan dalam mana-mana persembahan sebelum ini kecuali beberapa lagu popular saya.

“Saya cuba memberikan yang terbaik dan berharap konsert ini bakal mening­galkan kenangan manis buat semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 5:00 AM